arena

Poad memang layak!

Oleh Aida Adilah Mat

SUMBANGAN jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim melahirkan Khairul Hafiz Jantan sehingga berjaya bergelar raja pecut Asia Tenggara mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan Jurulatih Lelaki Kebangsaan sempena majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2017.

Beliau adalah watak penting melahirkan beberapa lagi atlet pecut berbakat besar yang dijangka akan menghangatkan trek olahraga negara.

Poad yang ditemui menzahirkan rasa terkejut dan langsung tidak menduga dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan.

Katanya, 2017 penuh warna warni dan paling tidak dapat dilupakan pastinya keperitan yang dialami sehingga terpaksa ‘ditidurkan’ oleh doktor kerana menghadapi jangkitan paru-paru.

“Alhamdulillah dan syukur di atas anugerah ini. Melihat kepada calon-calon saya sesungguhnya tidak menyangka akan dipilih sebagai jurulatih kebangsaan.

“Ia satu motivasi buat saya untuk terus melatih dan melahirkan lebih ramai lagi atlet untuk membantu mengharumkan nama negara,” katanya.

Beliau mengenepikan empat lagi calon iaitu Johari Nayan (basikal para), Mohd Faizol Harun dan Mohd Syahrul Amri Mohd Suhaimi (olahraga para), Stephen Van Huizen (hoki) dan Lim Yew Fai (wushu).

Kejayaan itu membolehkan beliau membawa pulang Piala Pusingan, Piala Iringan, Sijil, dan wang tunai RM5,000.

Sementara itu jurulatih bola keranjang Yoong Sze Yuin turut diiktiraf apabila dinobatkan Jurulatih Wanita Kebangsaan dengan menerima Piala Pusingan, Piala Iringan, Sijil dan wang tunai RM5,000.

Sze Yuin melakarkan kejayaan membawa skuad bola keranjang wanita negara layak ke temasya Komanwel selain mempertahan pingat emas di Sukan SEA.

Sze Yuin menewaskan Wendy Chai (tenpin bowling) dan Aminah Asaari (bola jaring).

tamat

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 11:38pm
d