arena

Ben Yedder mimpi ngeri United

Oleh Reuters

MANCHESTER, England: Manchester United mengalami kejutan tersingkir daripada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan kekalahan 1-2 kepada Sevilla selepas pemain gantian Wissam Ben Yedder meledak dua gol di Old Trafford, awal pagi tadi.

Kelab Sepanyol itu, yang tidak pernah menang aksi Liga Juara-Juara di England, mara ke suku akhir pertandingan kelab elit Eropah itu buat kali pertama sejak 1958 sesudah seri aksi pertama 0-0.

Anak buah Jose Mourinho dikejutkan dengan dua jaringan lewat pemain Perancis, Ben Yedder dan sekalipun Romelu Lukaku membalas satu gol, kempen United berakhir dengan memilukan.

Ben Yedder meletakkan pelawat di depan menerusi rembatan leret hanya 87 saat selepas tampil dari bangku simpanan pada minit ke-72 dan meledak sekali lagi dengan tandukan yang terlebih dulu terkena palang empat minit kemudian.

“Sekalipun hakikatnya kami tidak banyak mencipta peluang pada babak pertama, kami amat bagus hingga suku ketiga dan kami tidak memberikan United peluang di depan gol kami,” kata pengurus Sevilla dari Itali, Vincenzo Montella.

“Ben menjadi pemisah dan dia memang hebat, dua kali.”

Mourinho berkata: “Saya tidak fikir persembahan kami buruk. Saya melakukan yang terbaik, pemain melakukan yang terbaik. Kami mencuba, kami tewas dan inilah bola sepak.

“Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol dan sekali lagi pada babak kedua namun gol pertama sering mengubah arah permainan.”

United jelas jauh berbeza daripada pasukan yang menundukkan Liverpool pada Liga Perdana Sabtu lalu, dengan hantaran liar dan permainan kurang teratur.

“Kami amat cemerlang, terlalu bagus,” kata Montella. “Ramai pemain saya memperagakan aksi terbaik dalam karier mereka.”

Sevilla, yang menghuni tangga kelima La Liga, tidak pernah layak ke suku akhir Liga Juara-Juara sebelum ini, sekalipun mereka layak ke suku akhir Piala Eropah pada 1958.

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 8:02am
d