arena

'Apalah nasib Kane'

LONDON: Tottenham berdepan saat mendebarkan untuk mengetahui tahap kecederaan buku lali Harry Kane berikutan laporan penyerang England itu mungkin diketepikan selama enam minggu.

Kane mengalami masalah ligamen buku lali buat kali ketiga dalam tempoh 18 bulan ketika Tottenham menang 4-1 di Bournemouth, Ahad lalu.

Menurut laporan media Britain semalam, kecederaan itu serius dan Kane pasti sukar memulihkan diri tepat pada masanya sebelum Piala Dunia Jun depan.

Difahamkan Kane mungkin terpaksa berehat hingga hujung April, yang mana pasti satu tamparan besar impian Tottenham berakhir dalam kelompok empat teratas Liga Perdana dan menjuarai Piala FA.

Kane, yang menjaringkan 35 gol buat Tottenham musim ini, mungkin hanya mempunyai beberapa perlawanan untuk membuktikan kecergasannya kepada pengurus England, Gareth Southgate.

England akan berdepan Tunisia, Belgium dan Panama pada peringkat kumpulan Piala Dunia di Russia.

Apabila Kane cedera dua kali dengan masalah sama musim lalu, dia terlepas tujuh minggu dari September, kemudian lebih tiga minggu pada Mac.

Jika kecederaan terbaru buruk seperti disangka, Kane akan terlepas aksi suku akhir Piala FA di Swansea Sabtu ini, separuh akhir jika Tottenham mara dan empat perlawanan liga, termasuk pertembungan dengan Chelsea dan Manchester City.

Dia turut terlepas dua aksi persahabatan England menentang Belanda dan Itali bulan ini.

Bagaimanapun, laporan lain menyatakan tempoh Kane diketepikan belum diketahui kerana dia tidak menjalani ujian imbasan penuh.

Pemain berusia 24 tahun itu dilihat dengan kaki berbalut dan menggunakan topang ketiak ketika keluar di Essex, Isnin lalu.

Kecederaan itu dialami selepas pertembungan dengan penjaga gol Bournemouth, Asmir Begovic pada babak pertama di Dean Court. - AFP

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 10:44am
d