arena

Southampton pancing Hughes

Oleh AFP/Reuters

LONDON: Southampton sudah menghubungi bekas bos Stoke City, Mark Hughes untuk mengendalikan kelab bermasalah Liga Perdana Inggeris itu, menurut laporan semalam.

Hughes disenaraikan untuk menggantikan Mauricio Pellegrino, yang dipecat Southampton, kelmarin.

Pengendali berusia 54 tahun itu dilaporkan menerima tawaran kontrak hingga hujung musim ini dan mungkin akan disahkan sebagai bos Saints hari ini.

Southampton berharap dapat mencari pengganti Pellegrino bagi aksi suku akhir Piala FA menentang Wigan Athletic, Ahad ini.

Bekas penyerang Manchester United, Hughes mempunyai sejarah bersama Southampton selepas melakukan 54 penampilan Liga Perdana bersama mereka antara 1998 hingga 2000.

Hughes dipecat Stoke Januari lalu selepas menjadi pengurus selama empat setengah tahun, sesudah sebelumnya mengurus Wales, Blackburn, Manchester City, Fulham dan QPR.

Sementara itu, Pellegrino menyatakan beliau memohon maaf meninggalkan Southampton dalam kedudukan bahaya tersingkir ke liga bawahan selepas muncul pengurus kesembilan Liga Perdana kehilangan tugas musim ini.

Pengendali dari Argentina itu, yang menggantikan Claude Puel, menulis surat terbuka kepada penyokong yang disiarkan dalam laman sesawang kelab itu semalam.

“Sejak mula saya cuba melakukan yang terbaik setiap hari, saya cuba menyumbang kepada kelab dan cuba mewakili kelab dengan bangga,” katanya.

“Beberapa ketika kami berjaya menangani perkara ini, kadangkala gagal, tapi kami berdepan musim yang sukar kerana beberapa alasan.”

Pellegrino berjaya mengemudi Southampton ke suku akhir Piala FA, namun keutamaan bagi penggantinya adalah mengekalkan status mereka di liga utama.

“Saya memohon maaf meninggalkan kelab dalam situasi ini, tapi apabila anda tidak meraih keputusan diingini saya faham keputusan yang perlu diambil kelab ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 11:19am
d