arena

Vettel sandaran Ferrari

Oleh Reuters

LONDON: Tugas Sebastian Vettel bersama Ferrari musim ini mudah untuk diperkatakan tetapi sukar untuk dicapai; membawa semula kejuaraan Formula Satu dunia ke Maranello dan menafikan Mercedes kejuaraan kelima berturut-turut.

Pasukan paling lama, glamor dan berjaya itu semakin hampir melakukannya tahun lalu dengan pemandu mereka dari Jerman mendahului dalam 12 pusingan pertama dari Melbourne hingga Monza sebelum cabaran mula pudar.

Namun 2018 menandakan sedekad sejak pasukan dari Itali itu kali terakhir memenangi trofi, kejuaraan pengeluar ke-16 pada 2008 dan kini tekanan semakin memuncak.

Begitu juga harapan diletakkan di bahu Vettel dan rakan sepasukan dari Finland, Kimi Raikkonen, yang mana kejuaraan 2007 kekal yang ke-15 dan terakhir dimenangi pemandu Ferrari, bersedia bagi perlumbaan pembuka tirai di Australia hujung minggu depan dengan mencatat masa terpantas dalam latihan.

Catatan musim sejuk mungkin boleh disalah anggap dan pasukan bersiap sedia ke Melbourne - perlumbaan dimenangi Vettel tahun lalu - dengan rasa syak bahawa Lewis Hamilton dari Mercedes masih unggul dan Ferrari mungkin ketinggalan sedikit di belakang Red Bull.

Namun ada juga petanda persaingan akan menjadi lebih sengit tahun ini berbanding tahun lalu, apabila Vettel menang lima perlumbaan dengan juara empat kali Hamilton menang sembilan perlumbaan.

“Secara keseluruhan, saya berasa kami mempunyai pakej bagus,” kata Raikkonen, kini berusia 38 tahun dan mungkin akan bersara pada hujung kempen, selepas hari terakhir ujian menggunakan jentera SF71H.

“Kereta ini memberikan saya perasaan yang bagus, sekalipun masih ada banyak perkara untuk ditingkatkan, ia tetap mudah untuk dipandu dan ia bertindak baik kepada beberapa pelarasan berbeza,” ujar pemandu dari Finland itu.

Ferrari melengkapkan 929 pusingan di litar Barcelona sepanjang ujian lapan hari, menyamai jarak 4,324km – atau lebih 14 kali berbanding jarak perlumbaan Grand Prix Australia. Mercedes melakukan 1,040 pusingan atau 4,841km.

Bagaimanapun catatan terpantas Ferrari dilakukan dengan tayar baharu hypersoft, tayar paling pantas, yang tidak dibawa langsung Mercedes ke Barcelona.

Vettel, juara empat kali yang menang kejuaraan antara 2010-13 bersama Red Bull, tidak mempedulikan mengenai masa ujian.

“Kami masih berusaha bagi perlumbaan pertama dan tidak mungkin boleh membuat ramalan berdasarkan persembahan pasukan lain, kerana setiap orang melakukan program berbeza,” katanya.

“Bagaimanapun saya gembira dengan setiap ahli dalam pasukan,” ujar pemandu Jerman itu.

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 12:44pm
d