arena

Khairul tekad harum nama negara

Oleh Haika Khazi

Nilai: Biarpun pertama kali beraksi di Kejohanan Basikal Trek Para Dunia 2018 di Rio de Janeiro, Brazil mulai 22 hingga 25 Mac, namun atlet paracycling negara, Muhammad Khairul Nizam Mohd Ali dan Muhammad Firdaus Mohd Zonis, tetap teruja untuk julang nama Malaysia.

Muhammad Firdaus yang lebih mesra dengan nama gelaran ‘Toi’ berkata, dia akan melakukan sebaik mungkin untuk membantu Muhammad Khairul Nizam untuk menang podium apabila turun beraksi dalam acara pecut 200 meter tandem di Kejohanan Basikal Trek Para Dunia 2018 nanti.

“Bagaimanapun, saya enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi kerana tidak mahu memandang rendah keupayaan dan kehebatan pelumba lain termasuk rakan senegara, Muhammad Afiq Afify Rizan dan jurumudinya Muhammad Khairul Adha Rasol, bakal beraksi di Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan.

“Justeru, sasaran utama kami adalah untuk memperbaiki rekod peribadi terbaik dalam acara 200m tandem (10.9s) dibuat di Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2018 di Nilai, Negeri Sembilan dan jika dapat naik podium kira satu bonus,” katanya yang baru digandingkan dengan Muhammad Khairul Nizam kira-kira tiga bulan lalu.

Sebelum ini, Mohammad Firdaus terpaksa berehat panjang daripada arena sukan basikal negara selepas mengalami kecederaan tulang belakang akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.

Tambahan pula, Muhammad Firdaus berkata, pencapaianya di Kejohanan Basikal Trek Para Dunia 2018 penting dalam usaha memastikan namanya dan Muhammad Khairul Nizam tersenarai dalam barisan pelumba yang bakal mewakili Malaysia ke Sukan Asia Jakarta 2018 dan mengisi slot untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 9:11am
d