arena

Bayern benam Besiktas lagi

Oleh AFP

ISTANBUL: Jaringan Thiago Alcantara dan ledakan pertama Sandro Wagner dalam kempen Liga Juara-Juara memberikan Bayern Munich kemenangan 3-1 ke atas Besiktas pada aksi timbal balik kedua peringkat 16 terbaik, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan juara Jerman itu melangkah selesa ke peringkat suku akhir buat tahun ketujuh berturut-turut menerusi agregat besar 8-1.

Bagi jurulatih Bayern, Jupp Heynckes yang menggantikan Carlo Ancelotti pada Oktober lalu, ia adalah kemenangan ke-11 berturut-turut untuknya dalam kempen Liga Juara-Juara yang juga rekod baharu kejohanan.

“Ia adalah keputusan yang meyakinkan,” kata Heynckes. “Besiktas tidak pernah tewas di sini dalam aksi Liga Juara-Juara jadi ia bukannya mudah.

“Kami menjaringkan gol pada masa yang tepat dan adalah normal apabila kami sedikit menurun, hilang sedikit fokus selepas menang 5-0 kerana kami adalah manusia.

“Satu-satunya perkara negatif hari ini ialah kami mengutip begitu banyak kad kuning,” katanya selepas pertahanan, Jerome Boateng, Mats Hummels dan Rafinha kesemuanya dilayangkan kad kuning.

Selepas Thiago meledak gol pembukaan pada minit ke-18, gol sendiri oleh pemain Besiktas, Gokhan Gonul meletakkan Bayern mendahului 2-0 pada awal babak kedua.

Ketinggalan 7-0 secara agregat, tuan rumah akhirnya berjaya meraih gol pertama menerusi Vagner Love pada minit ke-59 tetapi Bayern melengkapkan hari cemerlang dengan menjaringkan gol ketiga menerusi pemain gantian, Wagner pada minit ke-84 yang juga penampilan sulungnya di Liga Juara-Juara.

“Ia benar-benar perlawanan yang sengit,” kata kapten Bayern, Thomas Mueller. “Kami banyak kehilangan bola, terutama pada babak kedua dan kami tidak memperoleh struktur permainan yang kami harapkan.”

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 9:55am
d