arena

Higuain bantu Juventus kukuh kedudukan

Oleh AFP

MILAN: Gonzalo Higuain menjaringkan satu gol dan mencipta satu peluang ketika Juventus menjarakkan kelebihan kepada empat mata di puncak Serie A susulan kemenangan 2-0 di laman sendiri kepada Atalanta, awal pagi tadi.

Penyerang Argentina, Higuain membuka tirai jaringan pada minit ke-29 di Turin dalam perlawanan yang mengalami perubahan jadual berikutan salji tebal yang turun pada bulan lalu sehingga memaksa perlawanan ditangguhkan.

Higuain turut terbabit apabila pendahulu Serie A itu menambah jaringan pada minit ke-81 apabila hantarannya berjaya disempurnakan oleh pemain tengah Perancis, Blaise Matuidi.

Gol itu tiba sejurus selepas Atalanta terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanannya, Gianluca Mancini menerima kad kuning kedua susulan kekasaran ke atas Higuain dan Giorgio Chiellini.

Kemenangan ke-12 berturut-turut dalam kempen Serie A itu menyaksikan skuad kendalian Massimiliano Allegri kini di landasan tepat untuk mengekalkan kejuaraan ketujuh berturut-turut saingan elit liga Itali itu.

Begitupun, mereka berdepan tugas sukar apabila dijadual menanti kunjungan pasukan tangga kedua, Napoli di laman sendiri pada 22 April ini.

“Kami tidak boleh mula berfikir yang kejuaraan Itali secara tiba-tiba berada dalam beg kami,” kata Allegri. “Ia adalah tahap yang penting pada musim ini tetapi kami perlu mengambil pendekatan satu langkah pada satu masa.

“Napoli berada di belakang kami dan kami memerlukan banyak mata untuk memenangi gelaran.”

Juventus yang dua menamatkan saingan Liga Juara-Juara selaku naib juara dalam tempoh tiga musim akan mengetahui siapa lawan mereka di peringkat suku akhir kancah berprestij itu selepas sesi undian di Nyon, Switzerland, esok.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 10:25am
d