arena

'Sekat jentera tengah Kedah'

Oleh Asrol Awang

PAHANG perlu mengunci jentera tengah Kedah jika mahu mengutip mata penuh apabila kedua-dua pasukan bertemu pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Darul Makmur, di sini, Sabtu ini.

Pemain tengah skuad Tok Gajah, Nor Azam Azih berkata, kekuatan Helang Merah di bahagian tengah itu perlu dikekang menerusi komitmen padu rakan sepasukan.

Katanya, biarpun skuad kendalian Ramon Marcote tidak berada pada prestasi terbaik termasuk tewas 3-4 kepada Kuala Lumpur pada aksi Liga Super, ia tidak bermakna Pahang mudah meraih kemenangan.

“Kami akui Kedah begitu mantap di bahagian tengah kerana mereka memiliki pemain berpengalaman seperti Baddrol Bakhtiar, Liridon Krasniqi, Andik Vermansyah dan Akhyar Rashid.

“Sudah pasti kami perlu lebih berhati-hati dalam mengawal permainan untuk memastikan jentera tengah mereka gagal memainkan peranan.

“Pada masa sama, peluang yang ada akan dilakukan dengan sebaik mungkin untuk mendapatkan jaringan awal sebagai motivasi,” katanya.

Nor Azam yang dipanggil menyertai latihan pusat skuad kebangsaan turut bersemangat untuk memastikan Pahang mengisi slot suku akhir piala berprestij itu.

“Kejayaan membenam Negeri Sembilan 4-0 diharap membantu memperkasakan pasukan sambil dibantu sokongan padu penyokong,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 1:20pm
d