arena

Malaysian Tigers bakal guna aplikasi termoden

Oleh Saiful Affendy Sapran

SKUAD hoki negara menerima suntikan semangat dalam misi untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan selepas menerima Sistem Analisis Prestasi Sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.

Berada di bawah Program Podium seliaan ISN, Malaysian Tigers layak menerima perisian terkini dinamakan 'Catapult Sport System' dan 'Sportscode Performance Analysis Software V11' khusus bagi keperluan mereka menghadapi pelbagai kejohanan penting termasuklah Sukan Asia dan yang terdekat Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia bulan depan.

Pengerusi Lembaga ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mengakui kedua-dua perisian paling terkini itu menelan satu kos yang tinggi, namun beliau enggan mendedahkannya tetapi hanya mendedahkan kos untuk memperharui lesen peralatan itu saja mencecah kira-kira RM28,000 setahun. 

"Catapult Sport System adalah satu perisian yang sudah digunakan secara meluas oleh kebanyakan pasukan ternama dunia yang mampu membantu atlet, jurulatih serta pegawai sains sukan dalam merancang latihan yang bersesuaian dengan keperluan semasa pasukan.

"Ia berfungsi dalam menganalisis pergerakan atlet ketika latihan serta pertandingan melalui keupayaan untuk merekod koordinasi, kelajuan, pecutan, arah dan intensiti pergerakan," katanya pada sidang media majlis penyerahan Sistem Analisis Prestasi Sukan ISN-MHC hari ini.

Jelas Abdul Azim lagi, Sportscode Performance Analysis Software V11 pula adalah satu perisian yang diguna pakai oleh pegawai analisis prestasi dalam mengkaji tingkahlaku pemain semasa latihan dan pertandingan melalui rakaman video atau secara langsung.

"Video akan dianalisis menggunakan petunjuk prestasi yang ditetapkan oleh jurulatih dan pegawai analisis prestasi bagi memahami tingkahlaku pemain sendiri mahupun lawan seterusnya menggunakan penilaian terhadap tingkahlaku itu untuk memperbaiki prestasi strategi perlawanan.

"Secara ringkasnya, dua perisian ini adalah sistem analisis prestasi sukan yang termoden kita berikan kepada skuad hoki lelaki negara," katanya.

Tegas Abdul Azim yang juga Chef de Mission ke Sukan Asia, dengan segala keistimewaan yang diberikan itu, beliau berharap skuad negara dapat memenuhi sasaran memenangi pingat emas sekali gus layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo.

Simulasi perisian itu sudah digunakan ketika Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak baru-baru ini dan akan terus digunakan untuk persiapan terdekat ke Sukan Komanwel.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 10:18pm
d