arena

Lima sudah rayu, lima masih 'bisu'

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengesahkan daripada 10 pasukan dikenakan denda hanya lima pasukan iaitu dua daripada Liga Super dan tiga daripada Liga Perdana sudah menghantar surat rayuan tatkala tarikh tutup pada Selasa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, lima pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) sudah menghantar rayuan.

“Saya tidak boleh dedahkan pasukan mana menghantar rayuan berkenaan sehingga tarikh tutup ditetapkan pada Selasa ini. Pada Rabu ini, kita akan memaklumkan pasukan mana sudah menghantar rayuan. Seperti saya pernah katakan empat pasukan gagal menghantar dokumen pendaftaran, manakala enam pasukan lewat menghantar dokumen berkenaan.

“Yang lewat itu sebenarnya mereka dah hantar, tetapi lepas tarikh tutup 3 Februari lalu dan dalam rayuan mereka perlu menjelaskan kenapa dihantar selepas tarikh tutup dan itu apa yang dirayu.Setakat ini daripada enam pasukan yang gagal melengkapkan dokumen, hanya dua mengemukakan rayuan dan saya juga mengesahkan pembayaran geran kepada semua pasukan yang bersaing di Liga Super dan Liga Perdana sudah dibuat semalam,” katanya pada sidang media selepas seminar bersama Presiden La Liga, Javier Tebas.

Turut hadir adalah Lembaga Pengarah FMLLP, EXCO Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan dua wakil setiap pasukan yang bersaing di Liga Malaysia (Liga M).

Pada 19 Februari lalu, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga Super dan enam dari Liga Premier gagal melengkapkan pendaftaran pasukan selepas tarikh akhir menghantar dokumen pada 3 Februari lalu.

Dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan Kuala Lumpur tidak menghantar atau menghantar dokumen tidak betul, manakala Selangor dan PKNS FC menghantar dokumen melepasi tarikh akhir diberikan.

Bagi Liga Perdana pula, empat pasukan tidak melengkapkan dokumen pendaftaran iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala dua pasukan menghantar dokumen melepasi tarikh akhir ditetapkan iaitu MIFA dan UKM FC yang menghantar dokumen pada 15 Februari lalu dan 19 Februari lalu.

Kevin berkata, semalam (kelmarin) FMLLP sudah membuat pembayaran geran berjumlah RM3 juta kepada pasukan Liga Super dan RM1 juta buat pasukan Liga Perdana.

“Berkenaan perkara itu, pembayaran geran bagi pasukan yang dikenakan denda itu kita tahan terlebih dulu mengikut denda yang dikenakan terhadap pasukan berkenaan.Sekiranya pasukan itu bakal didenda RM500,000 bagi Liga Perdana dan RM1.5 juta bagi Liga Super, kita hanya sekat jumlah itu dan serahkan selebihnya,” katanya baki geran akan dibayar selepas keputusan rayuan dikeluarkan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjasama FMLLP dan La Liga yang sedang dijalankan kini, antara yang utama adalah pengaplikasian sistem Marouder untuk memantau hak penyiaran Liga M.

Kevin berkata, sistem yang digunakan La Liga Sepanyol tersebut adalah bertujuan untuk mengesan penyiar haram (illegal feed) sebelum dikenakan tindakan seterusnya.

“Kita akan membuat perincian lagi mengenai perkara ini, hak penyiaran adalah sesuatu yang perlu dijaga. Kita juga bakal mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,” kata Kevin.

Disiarkan pada: March 16, 2018 @ 10:03am
d