arena

Hafizh bukan gimik pemasaran

Oleh Fadhli Ishak dan Sukhairi Thani

KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menegaskan Hafizh Syahrin Abdullah adalah ‘pelumba MotoGP sebenar’ dan bukan lagi alat pemasaran buat penaja pasukan, Monster Yamaha Tech3.

Razlan berkata, pasukan dan beberapa pihak lain termasuk penaja mengambil risiko yang amat besar untuk mengikat Hafizh, pelumba yang daripada mata luar dilihat agak samar untuk memberi saingan kompetitif dalam kelas perdana itu.

“Herve Poncharal (prinsipal pasukan Tech3) dan SIC mengambil risiko besar terhadap Hafizh kerana kami tidak tahu bagaimana kemampuannya di MotoGP,” kata Razlan.

“Bagi kami (SIC), ia adalah satu peluang keemasan dan perancangannya untuk mengambil peluang itu terlebih dulu dan memikirkan perkara lain kemudian.

“Namun, ia satu risiko yang lebih besar buat Herve, seorang yang sudah menghabiskan tiga atau empat dekat dalam sukan ini, kerana ia pastinya membabitkan reputasinya sendiri.

“Hafizh bagaimanapun, melakukan sesuatu yang baik ketika ujian di Buriram di mana dia lebih laju daripada Jorge Lorenzo pada hari terakhir. Malah, dia lebih baik di Qatar apabila menamatkan ujian di tangga ke-16 dan muncul selaku pelumba baharu kedua terpantas.

“Pada awalnya, Hafizh mungkin menjadi alat pemasaran untuk motosikal Yamaha di Asia namun dia sudah membuktikan sesuatu yang membanggakan dan menunjukkan dirinya sebagai pelumba MotoGP sebenar.

“Sudah tentu, ia sesuatu yang positif tetapi dari sudut lain, kita perlu ingat ini hanyalah berdasarkan ujian rasmi dan kita akan lihat bagaimana prestasinya sebenarnya di (Grand Prix) Qatar (minggu ini).”

Poncharal adalah seorang yang dihormati dalam sukan ini dan memegang jawatan selaku presiden Persatuan Pasukan Perlumbaan Antarabangsa (IRTA).

Tech3 mengikat Hafizh bagi menggantikan Jonas Folger yang terpaksa diketepikan pada saat akhir kerana mengalami masalah kesihatan. 

Pelumba kelahiran Ampang itu bakal bergandingan bersama Johann Zarco musim ini.

Disiarkan pada: March 16, 2018 @ 6:11pm
d