arena

Dhaarma belum puas hati

Oleh Saiful Affendy Sapran

DI SEBALIK kejayaan mencatat tiga kemenangan daripada empat perlawanan persahabatan dengan skuad bawah 21 tahun Jepun, ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tetap kurang senang dengan persiapan anak buahnya ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia bulan depan.

Jelas Dhaarma, kelemahan ketara yang dilihat daripada keempat-empat perlawanan itu ialah barisan pemainnya gagal memanfaatkan deretan peluang menjaringkan gol baik menerusi jaringan padang mahupun pukulan sudut penalti.

“Ceritanya tetap sama seperti sebelum ini apabila pemain mencipta banyak peluang tetapi gagal untuk menjaringkan gol.

“Jadi bagi saya ia agak membazir sedangkan hakikatnya kita beraksi jauh lebih baik berbanding lawan.

“Contoh terbaik pada perlawanan persahabatan terakhir dengan Jepun apabila kita memperoleh peluang yang tidak terkira banyaknya berbanding lawan tetapi hanya dapat mencatatkan kemenangan 2-1. Gol tunggal Jepun itu pun melalui serangan balas saja,” katanya.

Justeru itu, Dhaarma berharap dapat mencari jalan penyelesaian terbaik ketika persiapan untuk ke Gold Coast semakin suntuk.

“Sekarang saya hanya mempunyai tempoh kira-kira seminggu saja untuk mempersiapkan pasukan sebelum bertolak ke Gold Coast pada 26 Mac.

“Persiapan rapi sangat penting kerana semua pasukan yang bakal kita temui di Sukan Komanwel bukanlah calang-calang,” katanya.

Sepanjang empat perlawanan persahabatan itu, skuad negara mencatat kemenangan 3-1, 4-1 dan 2-1 ke atas Jepun dan hanya tewas sekali saja pada perlawanan pertama dengan keputusan 1-3.

Pada saingan di Gold Coast, skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama-sama England, India, Afrika Selatan dan Wales.

Disiarkan pada: March 16, 2018 @ 7:58pm
d