arena

The Reds mahu gempur City

JUERGEN Klopp berkata Manchester City tidak akan gembira apabila diundi menentang Liverpool dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara yang membabitkan kedua-dua pasukan Liga Perdana Inggeris itu.

Skuad Klopp diundi menentang pendahulu Liga Perdana City dalam undian hari ini dan pengurus Reds yakin skuad Pep Guardiola pastinya berasa sedikit gementar dengan perlawanan itu.

Biarpun City menewaskan Liverpool 5-0 pada September, mereka berdepan satu-satunya kekalahan liga musim ini di tangan Liverpool pada 14 Januari lalu.

Skuad Reds mendahului 4-1 sebelum meraih kemenangan 4-3 dan Klopp percaya aksi hebat itu akan menghangatkan suasana sebelum mereka bertemu kembali di pentas Eropah.

Aksi pertama suku akhir akan diadakan di Anfield pada 4 April sebelum perlawanan timbal balik pada 10 April.

“Kami pernah kalah sekali dan menang sekali dengan mereka dalam aksi liga. Saya tidak fikir mereka akan terfikir bahawa lawan terbaik mereka adalah Liverpool. Ini adalah petanda bagi kami dan menunjukkan betapa kuatnya kami,” kata Klopp.

“Kami bukannya pasukan pilihan pada pusingan ini tetapi dalam lapan pasukan ini, tidak banyak pasukan pilihan, mungkin Bayern dan Barcelona namun dalam bola sepak, tiada apa yang pasti.”

Undian itu mempertemukan dua kelab Liga Perdana Inggeris dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak Manchester United menewaskan Chelsea pada 2010-11.

Perlawanan menentang satu lagi pasukan Inggeris menambah rencah dalam kejohanan itu dan Klopp tidak sabar menantikannya.

“Kami mempunyai beberapa lagi perlawanan sebelum itu tetapi saya benar-benar tidak sabar menantinya dan kami akan berikan segala-galanya.” - AFP

Disiarkan pada: March 16, 2018 @ 10:39pm
d