arena

Zarco impi beraksi disamping Marquez

Oleh Agensi

LOSAIL: Penunggang MotoGP Perancis, Johann Zarco menyifatkan peluang menyertai Marc Marquez bersama pasukan Repsol Honda menjadi impiannya di masa depan.

Zarco yang berlumba bersama pasukan satelit Tech3 Yamaha boleh dianggap antara pelumba paling hangat dalam kancah MotoGP yang dijadual membuka tirainya di Grand Prix (GP) Qatar, esok.

Ketika Marquez, Valentino Rossi dan Maverick Vinales sudah menandatangani kontrak baharu yang mengekalkan mereka sehingga 2020 bersama pasukan masing-masing, bekas juara dunia Moto2 dua kali itu dikaitkan dengan perpindahan dengan pasukan pengeluar seperti Honda, Suzuki dan KTM.

Begitupun, khabar angin paling sensasi ialah Zarco kemungkinan akan bergandingan dengan Marquez bersama pasukan Repsol Honda apabila seorang lagi penunggang, Dani Pedrosa belum mengesahkan masa depannya.

Bergandingan dengan juara dunia empat kali MotoGP seperti Marquez mungkin prospek yang menakutkan bagi sesetengah orang tetapi Zarco mengatakan dengan jelas dia langsung tidak bimbang dan menambah Repsol Honda adakah ‘pasukan impian.’

“Mengapa perlu takut? Menjadi rakan sepasukan Marquez adalah perkara yang baik,” kata pelumba berusia 27 tahun yang sentiasa tenang itu. 

“Repsol Honda seperti ‘pasukan impian.’ Sejak mula saya menyaksikannya (MotoGP ketika kecil), sekali pun tidak begitu banyak, tetapi saya masih mengingati beberapa gambar Mick Doohan. Kemudian Valentino Rossi menunggang Honda dan kini Marquez.

“Ia sentiasa pasukan yang menarik untuk disaksikan.”

Zarco berkata, dia mengambil pendekatan tunggu dan lihat ketika ini selain kekal tenang mengenai masa depannya.

“Saya fikir perlu mengharungi tiga perlumbaan terlebih dulu dan kemudian kami akan mengetahuinya. (Prestasi jentera) Sudah tentu ia adalah faktor yang utama (Dalam membuat keputusan). Tetapi juga lihat apa peluang yang datang kepada saya.”

Zarco pada tahun ini bergandingan dengan pelumba Malaysia, Harizh Syahrin Abdullah dengan Tech3 mengesahkan mereka akan menukar jentera kepada KTM pada musim depan.

 

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 2:21pm
d