arena

Radiah tuai emas

Oleh Mohd Khairie Khalid

JAGUH paralimpik negara, Siti Noor Radiah Ismail unggul dalam Kejohanan Olahraga Antarabangsa Fazza ke-10 – Grand Prix Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila berjaya memenangi pingat emas, lewat malam tadi.

Radiah yang beraksi dalam acara lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran) melakukan lompatan dengan jarak 5.04 meter (m) dan pencapaian itu sukar digugat pencabar lain di final T12/13/20.

Pemenang pingat gangsa Sukan Paralimpik Rio, Brazil pada 2016 itu mencatatkan jarak 5.04m  pada percubaan ketiganya.

Pada lompatan pertama, Radiah mencipta jarak 4.76m, kemudian percubaan kedua dibatalkan dan dia kembali bangkit di pusingan seterusnya dengan jarak 5.04m, 5.03m, 4.67m dan 4.82m.

Pingat perak acara ini milik Holly Durbidge dari Great Britain dengan jarak 4.89m sementara gangsa dibawa pulang Sonomi Sakai dari Jepun dengan lompatan sejauh 4.72m.

Dalam pada itu, aksi terakhir kejohanan turut menyaksikan pingat perak berjaya dikutip atlet negara menerusi Doriah Poulus dalam acara lempar cakera wanita F44.

Doriah membuat lemparan sejauh 24.56m dan jarak itu diperoleh pada balingan keempat selepas tiga percubaan sebelumnya dibatalkan.

Emas dibawa pulang Nesse Ida dari Norway yang berjaya melakukan balingan sejauh 30.63m sementara Suman dari India meraih gangsa dengan catatan 22.95m.

Grand Prix Olahraga Para Dunia di Dubai bermula sejak Selasa lalu dan melabuhkan tirai lewat malam tadi.

Secara keseluruhan, Malaysia mengutip tiga pingat emas masing-masing menerusi Nasharuddin Mohd dalam acara 400m T13/T20 lelaki, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru lelaki F13/20/46) dan Siti Noor Radiah (lompat jauh wanita T20).

--tamat--

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 8:00pm
d