arena

Osaka padam impian Halep

Oleh AFP

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Jaguh tenis Jepun Naomi Osaka menempah tiket ke final Indian Wells selepas menewaskan pemain nombor satu dunia Simona Halep untuk bertemu bintang sedang meningkat naik Daria Kasatkina.

Osaka, nombor 44 dunia, menang mudah ke atas pilihan utama Halep 6-3, 6-0, manakala pemain Russia Kasatkina menundukkan juara tujuh kali Grand Slam berusia 37 tahun, Venus Williams 4-6, 6-4, 7-5.

Bekas juara berusia 26 tahun, Halep hanya bertahan 64 minit di atas gelanggang sebelum tumpas kepada Osaka.

“Saya tidak bersedia. Saya kerap terlepas bola dan tidak bermain seperti yang saya harapkan,” kata Halep. “Saya bukan membuat alasan. Cuma dia lebih baik. Saya hanya tidak bersedia dan silap cara bermain.”

Tenaga muda jelas memberi kelebihan dengan kedua-dua Osaka yang tidak diletakkan sebagai pemain pilihan dan Kasatkina di ranking ke-19 dunia baru berusia 20 tahun, manakala gabungan usia Williams dan Halep adalah 63.

“Saya rasa seperti wujud generasi baharu dan saya cuba menyertainya,” kata Osaka yang memperbaiki rekodnya tahun ini kepada 14-4 selepas hadir di Indian Wells sebagai pemain ranking paling rendah dalam kelompok empat terakhir sejak Kim Clijsters pada tahun 2005.

“Saya sedikit gementar sepanjang permainan kerana ia turun naik. Tetapi saya gembira kerana berjaya menamatkannya ketika servis saya berbanding terpaksa mematahkan servisnya.”

Sementara itu Kasatkina mengatasi pemain dalam kelompok 10 terbaik buat kali ketiga untuk mara ke final Indian Wells pertamanya.

Kasatkina mencatat kemenangan terbesar dalam kariernya dan menewaskan pemain ranking kelapan dunia, Williams yang menyertai senarai mangsanya termasuk pemain pemenang Grand Slam dan bekas pemain nombor satu dunia.

“Perlawanan sebegini, anda kehilangan kata-kata,” kata Kasatkina. “Emosinya terlalu banyak dan anda tidak dapat menerangkannya. Mungkin ia salah satu malam yang terbaik dalam hidup saya, itu pasti.”

 

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 8:15pm
d