arena

Borneo Eagles mara

Oleh Ryan Stanley

PASUKAN Borneo Eagles kembali ke landasan betul untuk mempertahankan kejuaraan ragbi Borneo 7s selepas mara ke separuh akhir di sini, hari ini.

Walaupun dikejutkan dengan kekalahan di peringkat kumpulan kepada pendatang baharu kejohanan iaitu Iconz dari Australia, ia masih sukar digugat apabila menundukkan sebuah lagi pasukan dari Australia, Tribe 7s di suku akhir.

Pada aksi yang dianggap 'final ulangan' itu, Borneo Eagles mendahului Tribe 7s 7-0 di babak pertama hasil try daripada Brody Morris Lam, disusuli conversion oleh Vuga Wakaitolu Tagicakibau.

Bermula separuh masa kedua, Borneo Eagles terus menjarakkan kedudukan hasil try daripada Epeli Sigalele Lotawa dan conversion oleh Vuga bagi menjadikan kedudukan 14-0.

Brody kemudian melengkapkan kemenangan 19-0 Borneo Eagles selepas berjaya melakukan try, sekali gus menggagalkan hasrat Tribe 7s untuk menebus kekalahan mereka kepada Borneo Eagles dalam aksi final tahun lalu.

Dengan kemenangan itu, Borneo Eagles bakal berdepan Sri Lanka di separuh akhir kategori cup selepas pasukan itu turut menang di suku akhir bertemu Mellowpuff dari New Zealand dalam satu aksi sengit.

Perlawanan antara Sri Lanka dan Mellowpuff itu terpaksa ditentukan menerusi mata `kalah mati’ selepas kedua-dua pasukan terikat 19 sama pada masa sebenar permainan.

Bagaimanapun, nasib lebih memihak kepada Sri Lanka apabila diberi penalti try oleh pengadil selepas pemain Mellowpuff melakukan hadangan tinggi, sekali gus mengesahkan kemenangan mereka.

Sementara itu dalam satu lagi aksi suku akhir, skuad negara terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Iconz selepas kecundang 7-40.

Iconz bakal berdepan dengan Hong Kong Dragon di separuh akhir selepas pasukan berkenaan tidak menghadapi masalah untuk mengatasi Sabah Eagles 29-7.

Kategori wanita menyaksikan juara bertahan, Sri Lanka mara ke separuh akhir selepas menewaskan Sabah Eagles 46-0 di suku akhir.

Lawan Sri Lanka nanti ialah jaguh Asia Tenggara iaitu Thailand yang menundukkan pasukan SUKMA Sabah, 52-0 di suku akhir.

Sementara itu, Hong Kong Dragon yang membelasah pasukan dari Labuan, Islander Women 83-0 di suku akhir bakal berdepan dengan pasukan pilihan Singapura yang turut menang di suku akhir menentang Eagles RFC dengan kedudukan 25-5.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 10:11pm
d