arena

Eriksen bawa Spurs ke separuh akhir

Oleh Reuters

SWANSEA, Wales: Christian Eriksen meledak dua gol bagi membantu Tottenham Hotspur mengatasi Swansea City 3-0 di laman lawannya itu ketika kelab utara London itu melangkah ke separuh akhir Piala FA Inggeris, sebentar tadi.

Tendangan kaki kiri pemain Denmark itu meletakkan Spurs di depan selepas 11 minit pada perlawanan berat sebelah di Stadium Liberty.

Erik Lamela kemudian melakukan sepakan kencang kaki kanan mengatasi penjaga gol Swansea dari Sweden, Kristoffer Nordfeldt untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada masa kecederaan babak pertama, sebelum Eriksen meranapkan cabaran lawan dengan gol kedua peribadi pada minit ke-62.

Swansea beraksi perlawanan suku akhir Piala FA pertama sejak 1964, turun tanpa penyerang Andre Ayew dan adiknya Jordan, yang digantung perlawanan, gagal memberikan cabaran ketika pelawat menang selepas 90 minit.

Peluang tunggal tuan rumah hanya hadir selepas rehat apabila penjaga gol Tottenham yang juga bekas pemain Swansea, Michel Vorm melakukan tindakan penyelamat mengagumkan untuk menafikan Martin Olsson dan Tammy Abraham.

Pemenang Piala FA lapan kali, Tottenham mengintai peluang menjulang trofi itu kali pertama sejak 1991 dan sejak itu mereka kalah tujuh aksi separuh akhir, terbaru kepada Chelsea tahun lalu.

Spurs pastinya menikmati kelebihan laman sendiri pada separuh akhir kerana Wembley, yang menjadi gelanggang separuh akhir, adalah ‘rumah’ sementara mereka musim ini ketika stadium baru mereka sedang dibina.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 11:02pm
d