arena

Drop Shot: Skil, semangat dua jaguh sukar ditandingi

Oleh Datuk Seri Jalani Sidek

Awal pagi semalam sekali lagi menyaksikan pertembungan epik antara Datuk Lee Chong Wei dengan siapa lagi kalau bukan jaguh China, Lin Dan pada suku akhir Seluruh England.

Meskipun ia bukanlah perlawanan bagi menentukan siapakah juara, permusuhan Chong Wei-Lin Dan di gelanggang sentiasa memberikan keterujaan kepada orang ramai, bukan saja dari Malaysia, malah seluruh dunia.

Begitulah istimewanya Chong Wei-Lin Dan, dua karakter juara yang kini berada di penghujung karier mereka.

Walaupun perlawanan awal pagi semalam tidak memihak kepada Chong Wei apabila tewas 16-21, 17-21 kepada Lin Dan dalam tempoh 52 minit, namun kualiti permainan yang ditunjukkan kedua-dua pemain itu tetap di tahap tertinggi.

Karakter kedua-duanya nyata berbeza apabila berjumpa sesama sendiri, seolah-olah mahu mempertahankan maruah masing-masing.

Kudrat mereka mungkin tidak selincah 10 tahun lalu, tetapi baik Chong Wei atau Lin Dan, kedua-duanya masih ada skil dan semangat tinggi yang jarang sekali ada dalam kalangan pemain sekarang.

Saya menjangkakan sukar untuk mencari satu drama perseteruan seperti Chong Wei-Lin Dan pada masa depan.

Kalau ada pun, ia mungkin hampir sama tetapi tidak mampu mengatasi ‘skrip dan arahan drama’ seperti kedua-dua jaguh terulung itu yang pernah disaksikan di muka bumi ini.

Saya pasti peminat badminton dunia akan merindui persaingan kedua-dua pemain itu selepas mereka bersara kelak.

Bercerita soal skrip dan drama, saya berharap orang ramai ada kelapangan untuk menyaksikan filem membabitkan Chong Wei bertajuk ‘Lee Chong Wei: Rise of the Legend’.

Saya sendiri sudah menyaksikan filem ini dan secara jujur ia filem berkualiti yang wajar ditonton oleh segenap lapisan masyarakat.

Penonton akan dapat menyaksikan bagaimana sukarnya Chong Wei untuk membina karier sebelum berjaya seperti sekarang.

Pendek kata, banyak pengajaran dan contoh positif yang diperoleh daripada filem ini. Jom ke pawagam! Jumpa lagi.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 3:51am
d