arena

FIFA janji Piala Dunia tak jadi medan 'perang'

Oleh AFP

PANAMA: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menegaskan Piala Dunia di Russia tidak akan menjadi medan ‘perang.’

Presiden Russia, Vladimir Putin dan pihak berkuasa tuan rumah sebelum ini memberi jaminan keselamatan di sebalik timbul kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku insiden pergaduhan membabitkan penyokong.

“Kita tidak akan pergi berperang,” kata Infantino. “Kamu akan lihat nanti kami akan mengadakan pesta bola sepak dan jika seseorang mahu mencetuskan sebarang kekacauan, mereka akan berdepan masalah.

“Pihak Russia amat komited untuk menjadikan Piala Dunia kali ini berjaya,” katanya ketika sidang media di sini.

Timbul kebimbangan membabitkan keganasan membabitkan peminat fanatik terutama dari Russia dan England dengan kedua-duanya pernah bertempur ketika Kejuaraan Eropah 2016 di Perancis.

Bagaimanapun, bos FIFA itu yang pernah terbabit dalam penganjuran empat Kejuaraan Eropah sebelum ini mengesahkan tuan rumah Russia berusaha keras untuk menghalang sebarang insiden seperti itu daripada berlaku.

“Saya ada sedikit pengalaman menganjurkan kejohanan yang besar dan saya perlu katakan yang saya tidak pernah melihat tahap persiapan seperti ini, terutama membabitkan keselamatan, di Russia atau di mana saja,” katanya.

Piala Dunia yang dijadual berlangsung dari 14 Jun hingga 15 Julai ini dijangka menarik jutaan peminat dari seluruh dunia tetapi mereka tidak memerlukan visa untuk ke negara berkenaan.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 4:30pm
d