arena

'Magis Jeremy Gan'

Oleh Helmi Talkah

MAGIS bekas jurulatih kebangsaan, Jeremy Gan berjaya membawa Jepun melakar sejarah apabila buat kali pertama negara Matahari Terbit itu menjuarai acara beregu campuran pada saingan Seluruh England, malam ini.

Gandingan muda Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino melakar kejutan apabila menewaskan pilihan kelima kejohanan dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong 15-21, 22-20, 21-16 dalam aksi final di Birmingham.

Di sebalik kejayaan dan sejarah yang dicipta kedua-dua pemain berusia 22 dan 21 tahun itu, Jeremy boleh dianggap sebagai watak penting memacu kejayaan mereka khususnya Jepun dalam saingan beregu campuran.

Dia yang meletak jawatan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada September lalu tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan kredibilitinya apabila hanya memerlukan tiga bulan bagi membentuk gandingan Watanabe-Higashino.

"Saya gembira dengan kejayaan kedua-dua pemain ini, mereka sememangnya memberikan komitmen yang tinggi sepanjang sesi latihan dan berhak untuk kejayaan ini.

"Saya perlu berterima kasih kepada Persatuan Badminton Jepun dan ketua jurulatih, Park Joo Bong yang memberi kepercayaan penuh kepada saya untuk melaksanakan program latihan saya sendiri bagi melatih pemain beregu campuran Jepun.

"Pasangan ini masih muda dan mempunyai masa yang cerah. Mereka perlu terus bekerja keras untuk mencapai lebih banyak kejayaan, saya harap mereka tidak terlalu mudah berpuas hati," kata Jeremy yang turut menjadi watak penting ketika membawa beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016.

Sebelum itu, Jeremy juga antara watak penting yang meletakkan pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada suatu ketika berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita nombor satu dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan merekodkan gelaran juara Seluruh England buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan pemain Jepun, Akane Yamaguchi 22-20, 21-13.

Dalam acara perseorangan lelaki, juara dunia lima kali dari China, Lin Dan gagal dalam misinya merekodkan gelaran ketujuh Seluruh England apabila tewas di tangan rakan senegara, Shi Yuqi 19-21, 21-16, 9-21.

Bagi Shi Yuqi, 22, ini adalah gelaran Seluruh England pertama buat dirinya selepas tewas kepada jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dalam aksi final edisi tahun lalu.

 

Disiarkan pada: March 19, 2018 @ 12:12am
d