arena

Gol lewat Alves bantu PSG

PERTAHANAN Brazil, Dani Alves menjaringkan gol lewat untuk membantu Paris St-Germain menang 2-1 di Nice awal pagi tadi ketika mereka mengukuhkan cengkaman di puncak carta Ligue 1 dengan perbezaan 17 mata.

Sepak mula dipercepatkan kepada 1200GMT bagi memastikan pendedahan maksimum di Asia dan PSG, yang kini mengumpul 83 mata daripada 31 perlawanan, berhasrat untuk memukau.

Mereka gagal melakukannya dengan persembahan hambar namun tandukan Alves pada minit ke-82 cukup buat mereka menghampiri kejuaraan ketujuh liga Perancis.

Nice, yang menyaksikan percubaan Mario Balotelli terkena palang pada babak kedua, membuka tirai jaringan menerusi Allan Saint-Maximin, namun gol awal itu disamakan oleh Angel Di Maria.

Pada perlawanan lewat, Olympique de Marseille kehilangan peluang untuk merebut tangga kedua apabila gol minit akhir Memphis Depay membolehkan Olympique Lyonnais menang 3-2 di Stade Velodrome.

Pasukan tangga ketiga Marseille, dengan 59 mata dan tujuh di belakang AS Monaco, membuka tirai jaringan menerusi gol Rolando pada babak pertama.

Bagaimanapun, gol sendiri Adil Rami dan jaringan Houssem Aouar meletakkan Lyon di depan.

Kostas Mitroglou menyamakan kedudukan pada lewat perlawanan namun Depay tampil meledak gol kemenangan buat pelawat, yang menghuni tangga keempat dengan 57 mata. - Reuters

Disiarkan pada: March 19, 2018 @ 11:03am
d