arena

Werner aibkan Bayern

PEMAIN gantian Timo Werner menjaringkan gol kemenangan babak kedua ketika RB Leipzig bangkit daripada ketinggalan untuk mengejutkan Bayern Munich 2-1 awal pagi tadi sekali gus mencetus kekalahan pertama pendahulu Bundesliga itu sejak November lalu, rentetan 19 perlawanan dalam semua pertandingan.

Ia malam bersejarah buat pasukan tangga keenam Leipzig apabila mereka menundukkan Bayern kali pertama dalam lima percubaan.

“Leipzig rajin mengejar bola, mereka amat agresif dan menekan kami sepanjang perlawanan,” kata ketua jurulatih Bayern, Jupp Heynckes.

“Kami tidak bermain seperti beberapa minggu terakhir dan saya perlu katakan dengan jelas: Leipzig berhak menang.”

Penyerang Sandro Wagner memberikan Bayern gol awal menerusi tandukan selepas 12 minit di gelanggang Leipzig, Arena Red Bull, namun tuan rumah bangkit dengan penuh bergaya menerusi Naby Keita pada minit ke-37 dan gol kemenangan Werner pada minit ke-56.

Bayern kekal mendahului 17 mata di puncak carta dengan pertembungan dinanti-nanti di laman sendiri menentang pasukan tangga ketiga Borussia Dortmund menyusul dua minggu lagi.

Terdahulu, gol menakjubkan Michy Batshuayi - gol keenamnya dalam tujuh aksi liga - membantu Dortmund menang 1-0 ke atas Hanover.

Batshuayi, yang dipinjamkan dari Chelsea hingga Mei depan, meraih gol kemenangan dengan kemahiran individu menarik pada babak pertama.

Sesudah percubaannya terkena palang hanya selepas 35 saat, Batshuayi membelakangkan gol ketika dia menyambut sepakan sudut Andre Schuerrle dan menyepak masuk dengan tumit.

“Saya tidak begitu nampak gol dengan jelas, tapi ada ruang kecil dan saya bertuah kerana ia masuk,” kata Batshuayi. - AFP

Disiarkan pada: March 19, 2018 @ 11:17am
d