arena

Tuah selekoh terakhir

PELUMBA Itali, Andrea Dovizioso memenangi perlumbaan pembuka tirai musim MotoGP Qatar yang penuh dramatik awal pagi tadi, mengatasi cabaran pusingan terakhir daripada juara dunia Marc Marquez.

Dovizioso merampas semula kedudukan pendahulu pada selekoh terakhir perlumbaan malam 22 pusingan itu untuk mencatat kemenangan bermakna di litar yang mana dia berakhir sebagai naib juara dalam tiga tahun terakhir.

Juara dunia sembilan kali Valentino Rossi menduduki tangga ketiga bersama jentera Yamaha.

Dovizioso, yang muncul naib juara dalam kejuaraan dunia tahun lalu, merampas kedudukan pendahulu dengan berbaki lima pusingan daripada pendahulu Johann Zarco dari Perancis, yang bermula di petak pertama.

Penunggang Itali itu menangani cabaran pelumba Honda, Marquez hinggalah drama pusingan terakhir, sebelum memecut melepasi garisan penamat dan 25 mata pertamanya musim ini.

“Ia perlumbaan sempurna, hujung minggu yang sempurna,” kata Dovizioso.

“Kami bekerja dengan amat bagus.”

Pelumba Itali itu mempamerkan persembahan baik ketika latihan dan kelayakan namun mengejutkan dia hanya bermula di petak kelima grid.

Lebih buruk, permulaan teruk dengan jentera Ducati bermakna Dovizioso ketinggalan ketika permulaan sebelum dia mampu mengejar pendahulu.

“Ia jelas permulaan buruk tapi saya bertenang, saya bangkit secara perlahan dan menyelamatkan tayar daripada haus. Saya mampu mengejar pada hujungnya, sekalipun tayar saya haus.”

Marquez dari Sepanyol berkata, dia cuba menekan Dovizioso ‘100 peratus’.

“Pertama sekali, saya amat gembira berakhir di tangga kedua di litar ini, ia satu daripada litar paling sukar,” kata Marquez.

“Hari ini, dia berhak menang, dia lebih pantas berbanding saya, tapi sasaran saya cuba untuk mengawalnya.”

Ia kali ketiga Dovizioso mengalahkan Marquez pada selekoh terakhir perlumbaan.

Perlumbaan berikutnya berlangsung di Argentina pada 8 April depan. - AFP

Disiarkan pada: March 19, 2018 @ 12:39pm
d