arena

Kolarov kapten baru Serbia

SERBIA melucutkan jawatan kapten Branislav Ivanovic dan memberikannya kepada rakan pertahanan Aleksandar Kolarov ketika mereka memulakan persiapan Piala Dunia di Russia dengan dua perlawanan persahabatan, kata jurulatih Mladen Krstajic semalam.

"Kolarov, kapten baru dan (Nemanja) Matic sebagai penolongnya, mempunyai kuasa mengikut jejak langkah Ivanovic," kata Krstajic pada sidang akhbar menjelang dua perlawanan pemanas badan menentang Maghribi awal pagi Sabtu ini dan Nigeria pada 27 Mac depan.

"Kami sudah membuat keputusan yang kekal sebagai urusan dalaman tapi saya mahu menjelaskan tidak ada perselisihan faham dengan Ivanovic yang masih kekal dalam pasukan," ujar Krstajic.

Ivanovic yang berpengalaman luas, yang menjaringkan 12 gol dalam 100 perlawanan antarabangsa dan seorang daripada tiga pemain skuad Piala Dunia 2010, menjadi kapten Serbia sejak 2012 apabila dia mengambil alih daripada bekas pertahanan Manchester United, Nemanja Vidic.

Ketika kelayakan kempen kejohanan 2018, bekas pemain Chelsea berusia 34 tahun itu, yang kini memperagakan aksinya bersama kelab Russia, Zenit St Petersburg, sering kali dikritik penyokong dan pengulas, dengan ramai berasakan dia sudah tidak bertenaga.

"Ivanovic sudah banyak menyumbang kepada Serbia begitu juga sebaliknya. Tapi semua pemain sedar mereka perlu membina pasukan menjelang Piala Dunia bermula dengan kosong dan tiada siapa terjamin tempat dalam skuad 23 pemain," jelas Krstajic.

Kolarov, 32, yang bermain dengan kelab Itali, AS Roma, sudah menjaringkan 10 gol dalam 72 perlawanan buat Serbia.

Negara Balkan itu layak ke Piala Dunia yang menampilkan 32 pasukan selepas lapan tahun tidak beraksi pada kejohanan utama, sesudah tersingkir awal pada pusingan akhir 2010. - Reuters

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 7:12am
d