arena

Micciche presiden Serie A

TOKOH perbankan Gaetano Micciche dipilih sebagai presiden Serie A hari ini, mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan sejak setahun lamanya sekali gus semakin melengkapkan jawatan tertinggi bola sepak Itali yang sekian lama ditinggalkan.

Micciche,67, yang berasal dari Palermo di Sicily dan presiden bank pelaburan IMI dicalonkan presiden Jawatankuasa Olimpik Itali (CONI) Giovanni Malago dan dipilih sebulat suara oleh 20 kelab untuk mengisi jawatan yang kosong sejak Mac lalu.

Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) juga tidak mempunyai sebarang presiden dan pasukan kebangsaan kini di bawah kendalian jurulatih sementara Luigi Di Biagio.

CONI mengambil alih pentadbiran Serie A pada Disember dan turut mengendalikan FIGC, di mana presidennya Carlo Tavecchio meletak jawatan pada November, di bawah tekanan Malago susulan kegagalan Itali layak ke Piala Dunia.

Tidak lama sebelum peletakan jawatannya Tavecchio memecat jurulatih Azzurri Gian Piero Ventura.

 FIGC cuba memilih presiden baru pada Januari tetapi majlis undian berakhir dengan semua calon ditolak. -AFP

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 7:54am
d