arena

Skuad Oranje pertaruh muka baru

JURULATIH baru Belanda, Ronald Koeman berhasrat melihat pasukannya menyerlah ketika kendalian sulungnya menentang England minggu ini namun mengakui mereka kehilangan ramai pemain berkualiti beberapa tahun kebelakangan.

Arjen Robben dan Wesley Sneijder bersara daripada bola sepak antarabangsa baru-baru ini, manakala seorang lagi pemain veteran Robin van Persie tidak cukup cergas.

Koeman berkata, beliau terpaksa mempertaruhkan pemain remaja bagi perlawanan menentang England di Amsterdam awal pagi Sabtu ini dan kemudian perlawanan kedua mereka tiga hari kemudian di Geneva menentang Portugal.

“Kami sudah mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa pemain kreatif dan anda tidak boleh menggantikan mereka dengan mudah. Kini kami ada pemain muda yang masih perlu berkembang dan hanya masa depan boleh menentukan sama ada mereka boleh mampu mencapai tahap sama atau sebaliknya,” katanya, semalam.

Koeman berpendapat Robben, 34, masih mempunyai peranan dalam pasukan Oranje jika dia tidak bersara dan menegaskan beliau tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat Van Persie, 34, sebaik dia membuktikan kecergasannya di Feyenoord.

“Dia membuktikan kelasnya sekali lagi semalam,” kata Koeman mengenai persembahan penyerang itu bersama kelabnya Ahad lalu apabila dia meledak dua gol ketika menang 4-3 di PEC Zwolle dalam liga Belanda.

Sneijder, 33, yang memegang rekod Belanda dengan 133 penampilan, bersara daripada arena antarabangsa awal bulan ini.

Ketika Koeman dilantik sebagai jurulatih kebangsaan bulan lalu, perlawanan persahabatan itu memberi peluang pertama kepadanya menilai tugas yang diterimanya itu.

“Sudah tentu, kami bermain untuk menang. Bagi saya, apa yang turut penting apabila kami bermain dua perlawanan ini, saya lebih nampak mengenai hala tuju kami menjelang Liga Negara-Negara,” katanya.

Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk mungkin menjadi kapten pasukan itu di Arena Amsterdam, awal pagi Sabtu ini.

“Saya masih belum memutuskannya, saya tidak percaya dengan undian dalam kalangan pemain, jadi saya yang akan memilihnya,” ujar Koeman. - Reuters

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 9:46am
d