arena

Ikut cara Johor – Exco

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof 

RAKYAT negara ini dinasihatkan memberi ruang dan kebebasan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membentuk serta membangunkan pasukan bola sepak kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Zulkarnain Kamisan, berkata kebebasan dan peluang yang diberikan kerajaan Johor terbukti membolehkan Tunku Ismail mencorak pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menempa kejayaan.

Katanya, perkara yang sama perlu diberikan rakyat negara ini kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu, selain perlu sedar dan memahami pembangunan sesebuah pasukan itu tidak boleh mengambil masa singkat.

"Jika kita lihat dalam tempoh lima tahun, kerajaan Johor memberi kebebasan sepenuhnya kepada TMJ untuk merangka dan merancang pasukan JDT.

"Hasilnya, terbukti JDT sudah menempa nama ke peringkat kebangsaan dan Asia dengan memenangi banyak kejuaraan, begitu juga apa yang kita (kerajaan Johor) lihat untuk TMJ membangunkan pasukan kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan cek Johor Future 3.0 dan Sukan Muafakat Johor 2018 di sini, hari ini.

Zulkurnain berkata, antara perubahan ketara yang dapat dilihat ketika Tunku Ismail menerajui FAM ialah penstrukturan semula agihan dana yang membolehkan setiap pasukan secara tidak langsung memperoleh sumber kewangan membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi.

"Saya sarankan rakyat Malaysia ada sikap dan rasa yang sama seperti di Johor. Berilah peluang tiga hingga lima tahun kepada TMJ," katanya.

Pada 15 Mac lalu, FAM sekali lagi berdepan tamparan hebat selepas Tunku Ismail memberi bayangan mahu meletakkan jawatan susulan kejatuhan ranking skuad kebangsaan yang menjunam tiga lagi anak tangga.

Meskipun sebelum ini Tunku Ismail pernah menyatakan hasrat untuk berundur sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun akan datang, kenyataan terbaharu menerusi akaun Johor Southern Tigers itu memberi petanda betapa beliau serius untuk melepaskan jawatannya.

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 3:40pm
d