arena

Dhabitah optimis terjunan di Gold Coast

Oleh Mohd Khairie Khalid

SELEPAS tampil dengan terjunan kurang meyakinkan dalam dua Siri Terjun Dunia FINA baru-baru ini, Nur Dhabitah Sabri optimis mampu melakukan aksi lebih baik ketika bertanding pada Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan depan.

Katanya, permulaan kurang memberangsangkan dalam kedua-dua kejohanan itu tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya mendorong penerjun berusia 19 tahun itu bekerja lebih keras sekali gus menyerlah pada temasya kedua terbesar dunia itu nanti.

“Sebagai atlet, tugas kami hanyalah melakukan latihan, bagus atau tidak dalam sesuatu kejohanan belakang cerita. Kita akan dapat tampilkan prestasi terbaik kalau terus menjalani latihan dan jika ada rezeki ia satu bonus.

“Permulaan yang kurang baik bukan penghalang kerana bukan setiap kejohanan kita akan tampil dengan aksi terbaik. Tapi ia akan buat kita lagi kuat dan tahu apa kesalahan yang dilakukan,” katanya pada sidang media atlet Program Podium di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.  

Nur Dhabitah dan pasangannya, Leong Mun Yee gagal meraih sebarang pingat dalam dua siri kejohanan dunia yang berlangsung di Beijing, China serta Fuji, Jepun baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nur Dhabitah bagaimanapun tidak menyalahkan Mun Yee di sebalik kegagalan di Beijing dan Fuji.

Sebaliknya, dia bingkas memuji pasangan baharunya itu yang menggantikan Wendy Ng Yan Yee selepas digantung lapan bulan kerana positif doping.

“Mun Yee seorang senior yang kuat, ketika kami bergandingan untuk Siri Dunia, dia dapat meningkatkan mata dalam semua terjunan dalam masa singkat walaupun sudah lama tidak beraksi dalam acara papan anjal.

“Ia bukan satu perkara yang mudah,” kata Nur Dhabitah yang akan beraksi dalam acara 1 meter (m) papan anjal individu, 3m papan anjal individu, 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama bersama Mun Yee di Gold Coast nanti.

Pada temasya di Glasgow 2014, Nur Dhabitah berjaya memenangi gangsa bersama Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama wanita.

Sementara itu, Mun Yee yang pernah meraih perak dalam acara 10m platform seirama bersama Pandelela di New Delhi 2010 berkata, meskipun sudah lama tidak beraksi dalam acara berpasangan namun dia cuba memberikan aksi yang terbaik.

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 5:51pm
d