arena

Jazeman sasar tempat ketiga

Oleh Fadhli Ishak dan Sukhairi Thani

PENAMAT ketiga keseluruhan menjadi sasaran utama pemandu negara, Jazeman Jaafar selepas diumumkan bakal beraksi pada kejuaraan Endurance Dunia (WEC) untuk musim 2018.

Dia bakal mengemudi pasukan dibarisi 100 peratus pemandu Malaysia iaitu Weiron Tan, Afiq Ikhwan Yazid dan Nabil Jeffri dalam pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota di WEC serta perlumbaan Le Mans 24 Jam.

Ia sekali gus meletakkan mereka dalam lipatan sejarah apabila muncul selaku pasukan pertama yang disertai barisan penuh pemandu negara dalam kelas LMP2 selepas Alex Yoong menyertai secara perseorangan di Le Mans 24 Jam pada 2006 dan 2007.

“Kami layak (WEC) secara merit kerana memenangi pusingan di Buriram dalam sainga Siri Le Mans Asia (ALMS). Kami sudah menandatangani kontrak bersama Jackie Chan DC Racing, pasukan sama ketika kami di ALMS,” kata Jazeman.

“Pasukan (DC Racing) adalah satu daripada pasukan terkuat di grid tetapi kami perlu mengambilnya secara satu persatu apatah lagi WEC adalah satu acara besar manakala Le Mans 24 Jam adalah perlumbaan endurance terbesar.

“Le Mans adalah sasaran utama dalam karier saya dan kami perlu berusaha gigih untuk berada di tahap ini. Saya berbangga kerana mencapainya dengan semua barisan pemandu adalah dari Malaysia dan saya perlu melakukan yang terbaik.

“Sasaran dalam WEC adalah untuk menamatkan saingan di podium pada setiap perlumbaan dan menamatkan musim di kelompok tiga terbaik.”

Sebanyak lapan pusingan dalam WEC dan pusingan pembuka tirai dijadual berlangsung di Litar Spa Francorchamps, Belgium pada 5 Mei ini.

Musim 2018-10 bakal menyaksikan pasukan beraksi dalam Le Mans 24 Jam pada 16 hingga 17 Jun ini dan 15 hingga 16 Jun 2019.

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 10:36pm
d