arena

Djokovic sedia kembali ke kemuncak

NOVAK Djokovic menegaskan dia bermain tanpa sebarang kesakitan buat kali pertama dalam tempoh ‘bertahun-tahun lamanya’ ketika dia melakukan kemunculan semula pada Masters Miami.

Bekas pemain nombor satu dunia itu dibelenggu kecederaan siku yang menyebabkannya berehat enam bulan selepas terpaksa menarik diri pada suku akhir Wimbledon tahun lalu.

Kembali beraksi pada Terbuka Australia dengan memperbaharui cara melakukan servis menyebabkannya kalah pada pusingan keempat dan tersingkir dengan terhincut-hincut di Indian Wells minggu lalu hanya menambah keraguan terhadap keupayaan pemain berusia 30 tahun itu menokok 12 gelaran keseluruhan Grand Slam.

Namun bintang Serbia itu menyemarakkan semula usahanya muncul juara di Key Biscayne dengan rekod tujuh kali dan akhirnya bercakap mengenai kecederaan yang kini semakin pulih dan usaha kembali ke kemuncak yang menyaksikannya muncul pemain lelaki pertama sejak pemain legenda Australia, Rod Laver untuk memegang empat kejuaraan utama pada satu masa kurang dua tahun lalu.

“Saya sebenarnya mula bermain tanpa sebarang kesakitan sejak dua hari lalu. Ia melegakan kerana sebelum ini semuanya membabitkan rasa sakit,” kata Djokovic.

“Sejak beberapa hari lalu kali pertama dalam tempoh yang panjang saya akhirnya boleh fokus terhadap permainan berbanding perkara lain yang berlegar-legar dalam fikiran saya dan kebimbangan sama ada saya berasa sakit atau tidak.”

Djokovic mengelak soalan mengenai bagaimana dia boleh mencabar pemain nombor satu dunia Roger Federer, penyandang juara Terbuka Miami, sebaliknya lebih suka menumpukan kepada pengajaran berikutan kesukaran dialaminya ketika mahu kembali semula.

“Saya banyak belajar mengenai diri sendiri,” katanya.

“Ia sesuatu yang hebat, satu rahmat hebat melalui semua ini. Saya sudah berjaya dalam sukan ini dalam tempoh enam atau tujuh tahun terakhir dan saya amat bersyukur melaluinya.

“Tapi jelas saya terpaksa berdepan situasi berbeza, situasi yang tidak pernah saya alami sebelum ini. Sejak saya beralih profesional dalam sukan tenis, perjalanan saya sering kali ke arah yang betul tapi ia sudah berubah.

“Jadi saya perlu menerima hakikat dan menanganinya, bagaimana untuk melangkah ke depan dan mendapat inspirasi serta menjadi versi terbaik sebaik mungkin.” - AFP

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 11:12am
d