arena

Sanchez bergelut di United

SANTIAGO: Alexis Sanchez mengakui mengharungi permulaan sukar di Manchester United apabila dia hanya menjaringkan satu gol dalam 10 penampilan sejak perpindahan lumayan dari Arsenal pada Januari.

Penyerang Chile itu menjadi tumpuan kritikan apabila beraksi di bawah tahap sebenar bersama United yang kini bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara di tangan Sevilla bulan ini.

“Agak sukar buat saya kerana ia kali pertama saya bertukar pasukan pada Januari,” kata Sanchez kepada wartawan di Stockholm ketika Chile sedang melakukan persiapan bertemu Sweden, Sabtu ini.

Sanchez berkata, dia menjangkakan sesuatu yang lebih baik daripadanya sepanjang beberapa bulan pertama di bawah kendalian Jose Mourinho.

“Ia amat sukar, kami tersingkir daripada Piala Dunia, saya tiba di Arsenal dan mengalami kecederaan,” kata pemain berusia 29 tahun itu itu yang pada awal musim ini hampir menyertai Manchester City kendalian Pep Guardiola.

“Pada satu ketika perpindahan gagal, saya tidak dapat pergi ke kelab satu lagi dan akhirnya saya berada di United, salah satu kelab terbesar di dunia.”

Sanchez berharap dapat kembali menemui rentak kemenangan bersama Chile yang akan mengharungi perlawanan pertama di bawah kendalian Reinaldo Rueda dari Colombia.

Pasukan itu dilanda masalah dalaman selepas tersingkir daripada Piala Dunia dengan penjaga gol Claudio Bravo enggan menyertai jelajah Eropah.

Menurut Sanchez, pasukan itu ibarat keluarga dan Bravo masih mempertimbangkan untuk kembali bersama pasukan kebangsaan. - AFP

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 9:53am
d