arena

'Eksperimen Lopetegui'

SEPANYOL memasuki fasa terakhir persiapan ke Piala Dunia dengan pengendalinya, Julen Lopetegui terus melakukan eksperimen bagi mencari ramuan terbaik di jentera serangan.

Sejak membimbing La Roja dua tahun lalu, Lopetegui sudah memanggil lebih 10 penyerang dengan terbaru beliau bakal menguji Diego Costa, Iago Aspas, Rodrigo dan Lucas Vazquez untuk dua aksi persahabatan antarabangsa berprofil tinggi menentang Jerman pada Sabtu dan Argentina, Selasa ini.

Keempat-empat pemain itu akan mengambil tempat Jose Callejon, Vitolo dan Alvaro Morata yang sering dipanggil sebelum ini tetapi disisihkan bagi aksi pemanas badan penting Piala Dunia.

Costa tidak pernah disenaraikan sejak sembilan bulan lalu kerana tidak boleh beraksi untuk Atletico Madrid yang dikenakan hukuman penggantungan perpindahan sehingga Januari lalu.

Sementara Vazquez pula tidak dilihat Lopetegui sejak tahun lalu selepas pernah sekali diberi peluang beraksi selama 15 minit dengan Aspas pula lebih kerap terpilih, namun bukannya dalam kesebelasan utama.

Namun, paling mengejutkan adalah keputusan pengendali berusia 51 tahun itu menggugurkan Morata kerana masalah fizikal, tetapi Lopetegui berkata penyerang Chelsea itu masih mempunyai peluang yang baik untuk beraksi di Russia.

Kenyataan itu diperkuatkan lagi dengan pengakuan Lopetegui: "Ada beberapa pemain yang berhak disenaraikan tetapi tidak berada di sini.

"Alvaro melalui proses pemulihan kecederaan dan ia sebab mengapa dia tidak berada dalam skuad ini, tetapi dia masih boleh menamatkan musim ini dengan hebat dan bersaing untuk pilihan ke Piala Dunia."

Sementara itu, peluang kapten Barcelona Gerard Pique yang cedera untuk turun berdepan Jerman di Dusseldorf masih samar dengan Lopetegui mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Dia semakin baik dan kami perlu menunggu sehingga latihan terakhir sebelum memutuskan kedudukannya," kata Lopetegui.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 5:23pm
d