arena

Bukan untuk bantu JDT

Oleh Aziman Rosdi

KETUA Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam menegaskan keputusan untuk menunda tarikh perlawanan Liga Super untuk berlaku adil kepada semua pasukan.

Beliau berkata, dakwaan segelintir penyokong yang mengecam keputusan itu dengan menyatakan ia akan memberi kelebihan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah tidak betul.

“Saya fikir ia tuduhan tidak tepat apabila menyatakan perubahan tarikh perlawanan kepada Jun iaitu selepas tempoh perpindahan kedua pemain adalah untuk membantu JDT. Ada yang menyatakan, bila tarikh itu diubah, maka JDT sempat untuk menukar pemain import baharu.

“Tapi melihat kepada situasi sekarang, Pahang juga memerlukan pemain import baharu, saya difahamkan pemain import mereka (Francis Forkey Doe) mengalami kecederaan. Ini juga akan memberi kelebihan kepada Pahang, kenapa kami hanya dituduh membantu JDT dan bukannya Pahang?” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

FMLLP malam tadi mengumumkan, jadual perlawanan keenam dan ketujuh Liga Super yang dijadual berlangsung pada 30 dan 31 Mac serta 1 dan 4 April ditunda ke tarikh 5,6,10 dan 11 Jun.

Manakala bagi aksi Liga Perdana pada 29,30 dan 31 Mac serta 2,3 dan 4 April pula ditangguhkan ke tarikh 9, 10, 23 dan 24 April.

Menurut FMLLP, perubahan itu terpaksa dilakukan bagi memberi ruang kepada skuad Harimau Malaya mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa pada 1 April ini.

Bagaimanapun, perubahan jadual itu mencetuskan rasa tidak puas hati segelintir penyokong yang menganggap FMLLP membuat keputusan sesuka hati dan mahu membantu JDT yang sebelum ini sudah mengumumkan akan melakukan rombakan besar-besaran pada perpindahan pemain kedua dengan membawa masuk pemain import lebih hebat selepas kehilangan Jorge Pereyra Diaz.

Kevin berkata, pihaknya tidak boleh mengatur tarikh baru aksi Liga Super sama dengan tarikh pindaan Liga Perdana pada April memandangkan JDT mengharungi perlawanan Piala AFC pada 10 dan 24 April.

“Pasukan Liga Perdana tidak ada perlawanan pada April, jadi tak ada masalah, tapi JDT mempunyai perlawanan AFC pada tarikh berkenaan. Kalau kami hanya menunda tarikh perlawanan JDT saja pada Jun, ia adalah tidak adil kepada pasukan lain, jadi kami buat keputusan, semua perlawanan Liga Super ditunda pada Jun,” jelasnya.

Tambah Kevin, beliau mengakui sukar untuk memuaskan hati semua pihak khususnya sesetengah penyokong tempatan.

“Bila kita berjaya mendapatkan tajaan, kerjasama dengan La Liga, membuat bengkel bagi meningkatkan kualiti pasukan dan liga, penyokong akan membangkitkan soal ranking pasukan kebangsaan. Bila kita cuba bantu untuk naikkan ranking pasukan kebangsaan, mereka tetap tidak puas hati,” jelasnya.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 6:04pm
d