arena

Ibrahimovic ke MLS?

Oleh AFP

LONDON: Tempoh Zlatan Ibrahimovic di Manchester United menghampiri penghujung, paling awal pada minggu ini dengan perpindahan ke Liga Bolasepak Major (MLS) dipercayai akan berlaku tidak lama lagi, menurut laporan media.

Penyerang dari Sweden itu, yang kontraknya akan berakhir pada Jun ini hanya melakukan tujuh penampilan untuk United musim ini sejak pulih daripada kecederaan ligamen lutut.

“Zlatan Ibrahimovic sudah bermain perlawanan terakhirnya bagi Manchester United,” menurut laporan ESPN.

“Dia makin hampir untuk mengesahkan perpindahan ke Liga Bolasepak Major pada minggu ini selepas secara konsisten dikaitkan ke LA Galaxy.”

LA Galaxy sebelum ini mencipta sejarah apabila berjaya menarik bintang-bintang veteran ke Amerika antaranya David Beckham, Steven Gerard dan Robbie Keane.

Ibrahimovic, 36, tidak lagi bermain bagi kesemua perlawanan bersama skuad kendalian Jose Mourinho sejak digantikan ketika separuh masa pertama perlawanan menentang Burnley yang berakhir seri 2-2 pada 26 Disember lalu.

Bekas penyerang Barcelona itu menjaringkan 28 gol dalam 46 penampilannya pada musim pertamanya di England sebelum mengalami kecederaan ligamen lutut pada April lalu ketika aksi Liga Europa menentang Anderlecht.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 12:08am
d