arena

Chen Hoe kekal optimis

Oleh Aziman Rosdi

MESKIPUN gagal mencari kemenangan dalam pertama kendaliannya, jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe tetap yakin bahawa beliau memiliki pemain yang boleh mengubah nasib bola sepak Malaysia pada masa depan.   

Ia bukan keputusan yang diinginkan oleh bekas pengendali Kedah itu apabila hampir dimalukan oleh Mongolia dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam aksi persahabatan antarabangsa sebentar tadi.   

Bagi Cheng Hoe, anak buahnya sudah melakukan yang terbaik untuk cuba menamatkan kemarau tanpa kemenangan lebih setahun.  

"Pemain sudah berikan yang terbaik, saya puas hati cara dengan permainan tapi tak bernasib baik dengan keputusan ini. Saya masih optimistik dengan pemain yang ada ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.   

Malaysia yang berada di ranking ke-178 mendahului menerusi jaringan sendiri pemain Mongolia, Turbat Daginaa pada minit ke-31 namun pasukan pelawat (ranking 189) menyamakan kedudukan menerusi percubaan Enkhbileg Purevdorj, tiga minit sebelum babak pertama tamat.   

Anak buah Cheng Hoe kemudian mendahului 2-1 hasil rembatan pemain gantian Akhyar Rashid pada minit ke-65 namun kelebihan itu berjaya dipadam Gankhuyag Ser-Or-Yanjiv di minit ke-71.   

Cheng Hoe yang akan membawa pasukan ke Beirut bagi aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan Selasa depan mengakui kesilapan pemain meragut kemenangan pasukan malam ini.  

"Pemain sudah berikan yang terbaik tapi kemudian melepaskan gol, gol yang dilepaskan oleh kesilapan individu dan kurang fokus," katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 1:13am
d