arena

Diam diri petanda langkah kiri?

Oleh Devinder Singh

APAKAH yang boleh diharapkan peminat sukan di Malaysia daripada kontinjen negara di Sukan Komanwel Gold Coast bulan depan apabila pegawai sukan lebih senang mengunci mulut?

Sikap berdiam diri pegawai sukan ketika mengetengahkan ramalan pungutan pingat untuk skuad Malaysia mungkin menggambarkan sikap ‘pengecut’ pentadbir sukan terbabit atau membayangkan petanda kegagalan.

Baik pegawai dari Program Podium hinggalah ke Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), tiada siapapun yang berani mengumumkan secara rasmi apa yang boleh dijangkakan terhadap kontijen seramai 178 orang itu.

Mungkin kebimbangan terhadap pencapaian terburuk Malaysia dari aspek pingat dimenangi dalam tempoh 24 tahun, yang mampu menjejaskan matlamat Program Prodium  untuk berada dalam kelompok 10 teratas, membuatkan pegawai terbabit enggan meletakkan sasaran rasmi.

Selepas Azizulhasni Awang gagal mempertahankan gelaran keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia bulan depan dan Datuk Nicol David gagal memenangi sebarang gelaran Jelajah PSA dalam tempoh setahun, timbul kebimbangan bahawa Malaysia akan pulang dengan kurang daripada enam emas, tujuh perak dan enam gangsa yang diraih di Glasgow empat tahun lalu.

Seandainya berbasikal dan skuasy gagal membawa pulang pingat seperti yang diharapkan, tumpuan kini terarah kepada badminton (tiga), terjun (satu) dan boling padang (satu) untuk membawa pulang pingat buat negara.

Jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei memerlukan dua pingat emas untuk menyumbang pingat emas terbanyak sepanjang zaman buat Malaysia di Sukan Komanwel sekiranya cemerlang dalam acara individu dan berpasukan campuran.

Pingat emas ketiga dari badminton, yang menyaksikan skuad badminton menyumbang sekurang-kurangnya tiga pingat emas setiap edisi sejak 1998, mungkin hadir dari acara beregu lelaki dan campuran atau mungkin kedua-duanya.

Penerjun Pandelela Rinong pula menjadi pilihan untuk memenangi sama ada dalam acara 10m platform wanita atau 10m platform seirama bergandingan dengan juara dunia Cheong Jun Hoong.

Menerusi sukan boling padang, pasukan fours wanita menjadi pilihan untuk meraih emas tetapi mereka berpeluang menang lebih daripada itu dengan Siti Zalina Ahmad memburu emas ketiga dalam acara pairs, selepas meraih emas dalam acara singles pada 2002 dan 2006.

Bagaimanapun rekod angkat berat yang pulang dengan satu pingat emas setiap edisi sejak 1998 mungkin lebur dengan ketiadaan Hafifi Mansor selepas digantung akibat doping.

Tidak dinafikan kejutan mungkin berlaku dalam mana-mana edisi sukan, biarpun sukar untuk meneka dari mana datangnya namun atlet lompat tinggi  Nauraj Singh Randhawa, penembak Johnathan Wong dalam acara pistol dan atlet gimrama Amy Kwan Dict Weng berpeluang mencuri tumpuan.

Sebelum menduduki tangga ke-12 di Glasgow, Malaysia menamatkan saingan Sukan Komanwel dalam kelompok 10 teratas pungutan pingat, empat edisi berturut-turut sejak 1998 di Kuala Lumpur.

Namun daripada pencapaian terbaik iaitu 36 pingat termasuk rekod 12 pingat emas yang dimenangi di New Delhi pada 2010, pungutan pingat mengalami kejatuhan mendadak apabila pulang dengan separuh pingat berbanding edisi lalu, termasuk enam pingat emas.

Di sebalik jutaan ringgit dibelanjakan MSN dan Program Podium, rakyat Malaysia mungkin perlu bersedia berdepan pencapaian mengecewakan.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 9:38am
d