arena

Dah berumur tapi masih berguna

MANCHESTER, England: Penjaga gol veteran Gianluigi Buffon menegaskan dia masih mempunyai peranan bagi masa depan Itali sekalipun sudah melepasi usia 40 tahun.

Bintang Juventus itu bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas Itali secara mengejut gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia.

Bagaimanapun, dia mengubah keputusan itu dan akan beraksi menentang Argentina pada aksi persahabatan di Etihad awal pagi esok, selain kekal sebagai kapten.

“Setiap orang tahu kebenarannya. Peranan saya dalam skuad sering kali positif dan saya sering menyatukan orang. Saya sering kali mementingkan mereka berbanding diri sendiri,” kata Buffon, yang memegang rekod Eropah dengan 175 penampilan antarabangsa.

“Saya tidak berada di sini untuk menunjuk-nunjuk. Saya masih berguna. Saya mungkin sudah 40 tahun tapi saya penjaga gol Juventus.

“Itali negara yang melucukan kerana ramai suka dengan kontroversi tapi apa-apa kontroversi mengenai saya hanya disensasikan. Selepas beberapa ketika, kontroversi ini akan tenggelam begitu saja.”

Buffon sebelum ini membayangkan musim ini mungkin terakhir buatnya namun dia jelas tidak merancang untuk bersara lagi, terutama dengan Juve dalam landasan terbaik bagi satu lagi kejuaraan Serie A dan suku akhir Liga Juara-Juara.

“Saya tidak tahu bila perlawanan terakhir saya dengan Juventus atau pasukan kebangsaan tapi ia pasti menyedihkan, biasalah,” katanya.

“Saya tiba bagi perlawanan pertama saya dengan menaiki skuter dan satu-satunya kereta yang saya ada diberikan Juventus kepada saya.”

Selepas perlawanan awal pagi esok, Itali menuju ke London untuk bertemu England di Wembley, awal pagi Rabu depan. - AFP

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 10:21am
d