arena

Ramos intai rekod penampilan ke-150

MADRID: Kapten Sepanyol, Sergio Ramos bercakap mengenai keinginannya untuk muncul pemain paling banyak penampilan bersama La Roja sepanjang zaman ketika dia bersiap sedia bagi perlawanan ke-150 menentang Jerman, awal pagi esok.

Rekod itu dipegang penjaga gol Iker Casillas dengan 167 aksi namun Ramos berpeluang memecah angka itu dan membayangkan dia sedia melanjutkan karier antarabangsanya selepas Piala Dunia tahun ini.

“Ia satu saat istimewa buat saya. Dalam sukan ini, setiap perkara berlaku terlalu pantas dan mungkin kami tidak menikmati beberapa perkara seperti sepatutnya,” kata Ramos kepada wartawan, semalam.

“Saya masih suka mewakili negara saya, satu daripada perkara paling menarik boleh dilakukan pemain bola sepak. Anda imbau semula dan lihat pencapaian anda dan ia hebat, tapi saya tidak akan bersenang-lenang.

“Saya masih mahu terus menang dan meraih sasaran baru. Harapnya saya boleh kekal di sini lama lagi dan muncul pemegang rekod penampilan terbanyak buat Sepanyol.”

Antara tonggak utama generasi emas Sepanyol yang memenangi Piala Dunia 2010 selain Euro 2008 dan 2012, sudah hampir genap 13 tahun sejak Ramos, 31, melakukan penampilan sulung bersama Sepanyol ketika berusia 18 tahun menentang China.

Dia muncul pemain termuda Sepanyol meraih 100 penampilan lima tahun lalu dan mengambil alih tugas kapten skuad kebangsaan daripada Casillas pada 2016.

Sepanyol berdepan Jerman pada aksi persahabatan di Duesseldorf ketika mereka meneruskan persiapan menjelang Piala Dunia tahun ini. - Reuters

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 11:01am
d