arena

'Biar Khairy saja umum'

Oleh Devinder Singh

MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bakal mengumumkan sasaran pingat untuk Sukan Komanwel Gold Coast sewaktu majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Putrajaya Selasa depan.

Chef de Mission Huang Ying How berkata biarpun masih belum pasti sama ada Khairy akan mengumumkannya, tetapi adalah menjadi hak menteri sama ada mahu mengumumkannya atau tidak.

“Sudah beberapa kali saya ditanya untuk meletak sasaran ke Sukan Komanwel tetapi bukan bidang kuasa saya untuk melakukannya,” kata Ying How.

“Saya cuba menjelaskan bahawa menteri mempunyai hak untuk mengumumkan dan beliau akan berbuat demikian.”

Sehingga kini, tiada seorang pun pegawai sukan baik daripada kementerian, Program Podium atau Majlis Sukan Negara mengumumkan sasaran buat kontinjen negara.

Malaysia menang enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa empat tahun lalu di Glasgow namun mungkin pulang dengan kutipan lebih rendah kali ini, apabila pegawai sukan enggan memberikan sebarang sasaran.

Ying How menambah ia juga bukan polisi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuke meletakkan sasaran pingat.

“Sebagai polisi, MOM tidak meletakkan sebarang sasaran pingat atau kedudukan. Namun jika anda tanya saya, sasaran saya adalah dalam kelompok 10 terbaik.

“Ia mungkin sukar dicapai tetapi kami bersiap sedia untuk mencapainya.”

Biarpun tanpa sasaran rasmi, Ying How berkata 178 atlet mempunyai matlamat tersendiri untuk dicapai.  

"Atlet mempunyai sasaran tersendiri dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk mencapainya sama ada emas, perak atau gangsa atau catatan terbaik peribadi,” kata Ying How yang juga Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM).

Ying How memilih badminton, terjun dan boling padang sebagai penyumbang pingat emas dan peluang bagi sukan berbasikal, skuasy dan angkat berat bergantung pada aksi mereka pada hari pertandingan.

“Meletak sasaran adalah sukar tetapi persiapan berjalan lancar dan saya mengikuti perkembangan semua sukan,” kata Ying How. “Ia pastinya mencabar dan kami mungkin perlukan sedikit tuah.”

 

 

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 7:24pm
d