arena

'Saya penat mental, fizikal'

ALEXIS Sanchez mengakui mentalnya penat selepas mengharungi permulaan sukar di Manchester United.

“Saya tahu kamu letih. Saya tahu kamu penat secara fizikal dan emosi. Tetapi kamu perlu senyum dan meneruskannya,” kata Sanchez menerusi laman sosial bergambar Instagram di Sepanyol.

Pemain tengah United itu ketika ini berada di Stockholm untuk berlatih bersama skuad kebangsaan Chile menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Sweden, esok.

Sanchez pada minggu lalu memberitahu wartawan dia akan meminta pelepasan bagi perlawanan persahabatan dengan Sweden dan Denmark pada Selasa ini sebelum mengubah keputusannya.

Pemain berusia 29 tahun itu menyertai United dari Arsenal pada Januari lalu dengan gaji dilaporkan AS$695,000 (RM2.72 juta) seminggu dan menjadi pemain menerima gaji tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Begitupun, kelibatnya di United tidak begitu menyerlah apabila kelab kendalian Jose Mourinho itu tersingkir daripada kancah Liga Juara-Juara oleh Sevilla di peringkat 16 terbaik, minggu lalu.

Dia kemudian digugurkan Mourinho daripada kesebelasan utama bagi aksi suku akhir Piala FA menentang Brighton, empat hari kemudian yang menyaksikan United meraih kemenangan.

Selepas mengharungi 10 perlawanan bersama United, Sanchez baru meledak satu gol.

“Ia agak sukar bagi saya kerana ini kali pertama saya menyertai pasukan lain pada Januari,” kata Sanchez yang menambah dia ‘menjangkakan sesuatu lebih baik’ pada bulan-bulan pertamanya di bawah Mourinho.

Chile yang juga juara Amerika Selatan tidak layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia yang menyaksikan Sanchez berpeluang untuk ‘bercuti’ buat pertama kali dalam tempoh lima tahun. - AFP

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 10:00pm
d