arena

Pahang, KL berentap di final

Oleh Naqib Nor Said

SKUAD wanita Pahang bimbingan jurulatih Sabri Mohamad melangkah ke pentas akhir Kejohanan Hoki bawah 16 tahun (B-16) kebangsaan selepas berjaya menumpaskan finalis tahun lalu Sabah 3-0 di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Menurut Sabri, beliau berasa amat gembira kerana anak buahnya sebelum ini dilabel sebagai pasukan bukan pilihan terutama selepas menduduki tempat ketujuh di kejohanan sama tahun lalu.

"Saya bersyukur kerana kami ke perlawanan akhir dan ia dianggap sebagai satu bonus kerana kami sebenarnya bukannya pasukan pilihan," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Menanti Pahang dalam aksi final Ahad ini adalah juara bertahan Kuala Lumpur yang terpaksa bermandi peluh sebelum menundukkan Melaka 2-1 untuk menempah tiket ke final selaku juara Kumpulan Y dengan enam mata.

Bagaimanapun, sukar untuk meramalkan aksi final nanti selepas kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 2-2 dalam aksi peringkat pertama kumpulan.

"Kami amat menghormati Kuala Lumpur kerana mereka adalah juara bertahan, untuk kami pula ini adalah pentas final pertama. 

"Tetapi berdasarkan aksi pertama saya merumuskan kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang, cumanya kami perlu berhati-hati dengan keupayaan Kuala Lumpur terutana dari segi olaha taktikal permainan yang baik," kata Sabri.

Keputusan

Kumpulan X

Pahang...3 Sabah...0

Kumpulan Y

Kuala Lumpur...2 Melaka...1

Penentuan 7/9

Perak...3 P Pinang...3

Penentuan 10/12

Selangor...2 Sarawak...0

 

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 10:05pm
d