arena

Bolt impi jadi pemain bola sepak

Oleh AFP

DORTMUND: Legenda olahraga, Usain Bolt menjelaskan betapa dia serius mengenai impiannya untuk menjadi pemain bola sepak terkemuka selepas menjalani latihan bersama Borussia Dortmund.

“Saya benar-benar mahu mencuba dan menjadi profesional, bermain di peringkat tertinggi,” kata bintang pecut itu kepada pemberita di kelab liga Jerman, hari ini.

“Matlamat saya adalah untuk berada di dalam pasukan terkemuka dan bermain di dalam liga terkenal di dunia.

Kira-kira 200 wartawan dan 1,500 peminat menyaksikan juara lapan kali Olimpik itu menjalani latihan bersama skuad Dortmund.

Latihan tertutup yang berlangsung semalam dan sesi terbuka hari ini adalah publisiti buat Bolt dan Dortmund yang ditaja oleh Puma.

Kelab Bundesliga itu menyiarkan sesi latihan itu menerusi live streaming dan ditonton seramai 1.2 juta di China.

Bolt yang kini berusia 31 tahun menegaskan betapa dia serius untuk memulakan karier baharu - kebanyakan pemain bola sepak sudah menggantung kasut bola mereka pada usia ini.

Bolt yang bersara daripada kancah olahraga tahun lalu sedar dia kekurangan tahap kecergasan untuk memenuhi tuntutan sebagai pemain bola sepak.

“Secara keseluruhan saya berikan tujuh daripada sepuluh,” katanya. “Ia amat menyeronokkan, rakan sekeliling yang baik dan mereka amat mengalu-alukan, tetapi saya boleh mengatakan saya tidak cergas.

“Saya suka bermain di bahagian sayap tetapi saya tidak cergas jadi saya cuba kekal di atas.

“Saya dengar ramai peminat di sana - dan ia adalah satu pengalaman bermakna.”

 

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 12:40am
d