arena

Rebut peluang walau tipis

Oleh Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Skuad wanita negara tetap optimis mampu melangkah ke suku akhir biarpun berdepan laluan sukar pada saingan peringkat kumpulan Piala Uber 2018 di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, China, Indonesia dan Perancis.

Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah berkata, biarpun atas kertas peluang ke pusingan kalah mati adalah tipis tetapi dia tetap percaya ‘keajaiban’ boleh berlaku andai semua pemain memberikan komitmen sepenuhnya berdepan setiap lawan ditemui mereka.

“Sudah pasti China paling kuat, mereka ada dua pemain perseorangan dalam kelompok 10 terbaik dunia selain beregu mereka kini pasangan nombor satu dunia. Mungkin sukar apabila bertemu China tetapi kita perlu manfaatkan peluang untuk melakar kemenangan ke atas Indonesia dan Perancis.

“Peluang adalah 50-50 membabitkan acara perseorangan dan beregu apabila bertemu Indonesia. Mereka boleh dianggap sebagai pilihan tetapi kami akan berjuang habis-habisan untuk memenangi perlawanan. Perancis pula adalah perlawanan wajib menang untuk kami,” kata Soniia.

Berdasarkan kedudukan ranking dunia terkini, Soniia dijangka menggalas tugas sebagai perseorangan kedua manakala Goh Jin Wei, pertama.

Mengulas mengenai tahap keyakinannya susulan kekalahan di tangan perseorangan Indonesia, Fitriani Fitriani pada pusingan awal Seluruh England, biarpun mendahului selesa untuk memenangi perlawanan, Soniia berkata dia sudah melupakan kekecewaan berkenaan.

“Semua orang pun tahu apa yang saya alami di Seluruh England, saya perlu lupakan segera. Sekarang fokus saya adalah terhadap persiapan Sukan Komanwel dan Piala Uber,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 3:42am
d