arena

Argentina lebih hebat tanpa Messi

Oleh AFP

MANCHESTER: Ever Banega memastikan Argentina tidak terjejas dengan ketiadaan Lionel Messi ketika pasukan pilihan Piala Dunia itu menewaskan Itali 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Messi dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha ketika latihan Khamis lalu, dan penyerang Barcelona itu sekadar memanaskan bangku simpanan pada perlawanan berkenaan.

Dengan jadual domestik yang padat dan kempen Piala Dunia bermula Jun ini, pemenang lima kali Ballon d’Or enggan mengambil risiko untuk mengutip kecederaan lebih serius.

Tanpa bintang utama mereka itu, Argentina kendalian Jorge Sampaoli tampak tidak terjejas dan mempamerkan persembahan mantap dengan dua gol lewat permainan dijaringkan Banega dan Manuel Lanzini.

Selepas lolos ke Piala Dunia hasil hatrik Messi dalam kemenangan 3-1 ke atas Ecuador pada Oktober, Argentina akan bertemu Croatia, Iceland dan Nigeria dalam peringkat kumpulan Piala Dunia di Russia.

“Kami menganggap perlawanan ini seperti final,” kata Sampaoli yang turut kehilangan Sergio Aguero akibat kecederaan dan bakal merehatkan Angel Di Maria untuk pertemuan dengan Sepanyol minggu depan selepas pemainnya itu mengalami kecederaan paha.

Itali terus dirundung malang selepas gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat pertama kali sejak tahun 1958.

“Kami diatasi dengan kawalan bola mereka dan kehilangan rentak,” kata pengendali Itali Luigi Di Biagio. “Kami sepatutnya lebih baik di babak kedua tetapi jangan lupa siapa lawan kami.

“Kumpulan ini perlu terus dibentuk. Ramai di antaranya pemain muda yang memerlukan pengalaman. Kita perlu sedar ini adalah saat sukar buat pasukan. Kami harap semua bersabar.”

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 8:26am
d