arena

Vettel terpantas sesi latihan

Oleh AFP

MELBOURNE: Pemandu Ferrari Sebastian Vettel mencatat masa terpantas pada sesi latihan ketiga menjelang kelayakan Grand Prix Formula Satu Australia hari ini.

Vettel, memburu gelaran dunia kelimanya tahun ini, memanfaatkan penggunaan tayar slick ketika permukaan litar makin mengering selepas hujan pada sebelah pagi.

Pemandu Jerman itu mengatasi rakan sepasukan Kimi Raikkonen dengan jarak 2.432 saat ketika keadaan permukaan litar berbeza memberi pilihan untuk penggunaan tayar.

Vettel mencatat pusingan terpantas satu minit 26.067 saat untuk memintas pemandu Red Bull Max Verstappen selepas Carlos Sainz dari Renault tampil lebih pantas dengan tayar slick.

Rakan sepasukan Verstappen Daniel Ricciardo, yang dikenakan penalti tiga petak kerana melanggar peraturan bendera merah ketika sesi latiha kedua semalam, di tempat keenam mengatasi gandinga Mercedes Valtteri Bottas dan juara dunia Lewis Hamilton.

Pada satu ketika ketika permukaan litar licin, Hamilton kedengaran berkata kepada pasukannya menerusi radio: “Ada sesuatu yang tidak kena” dan dijawab oleh kru Mercedes “Berhenti, berhenti, berhenti.”

Dalam penjelasan selepas itu, Hamilton terpaksa menukar stereng keretanya dan dia terlepas separuh daripada sesi ujian berkenaan.

Verstappen pantas menyesuaikan diri dengan keadaan permukaan litar basah dan menjadi pemandu pertama mencatat bawah 1:37s untuk meletakkan Red Bull di depan.

Sesi kelayakan akan berlangsung hari ini sebelum perlumbaan pembuka tirai musim ini di Albert Park esok.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 1:54pm
d