arena

Cuaca jejas persiapan 

Oleh Sukhairi Thani

SESI ujian pramusim Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun terganggu dengan cuaca buruk sehingga menyaksikan pelumba negara, Zaqhwan Zaidi hanya melengkapkan satu daripada dua sesi, baru-baru ini.

Pelumba pasukan Honda Asia-Dream Racing dalam kelas JSB1000, Zaqhwan berdepan hujan salji yang suhunya mencecah 2 darjah Celsius dan situasi di Litar Twin Ring Motegi berkenaan amat berisiko untuk menunggang.

“Saya gembira kerana dapat menguji motosikal ini tetapi memandangkan cuaca tidak menentu, agak sukar bagi saya menyesuaikan diri dengan jentera,” katanya yang muncul selaku pelumba negara pertama beraksi di kejuaraan berkenaan.

“Apapun sudah tentu saya berasa sedikit rugi kerana tidak dapat menguji banyak perkara dengan jentera.”

Perlumbaan pembuka tirai bagi musim 2018 dijadual berlangsung di litar sama, Motegi pada 7 hingga 8 April ini.

Selain kejuaraan Seluruh Jepun, Zaqhwan yang pernah meraih dua gelaran di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada 2014 dan 2016 turut dijadual menyertai perlumbaan Endurance 8 Jam Suzuka, tahun ini.

“Dalam perlumbaan ini, saya meletakkan sasaran berada dalam kelompok lima atau 10 terbaik kerana semua pelumba ternama dan berpengalaman turut beraksi.

“Apapun, saya akan cuba untuk berada dalam kelompok itu dan terus memberi saingan kepada mereka,” kata pelumba berusia 22 tahun itu.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 7:33pm
d