arena

Syahmi tak kisah

Oleh Syafiq Aznan

TONGGAK skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Syahmi Safari muncul selaku pemain utiliti baharu untuk pasukan Selangor susulan kebolehannya beraksi di beberapa posisi musim ini.

Meskipun sering diletakkan selaku pemain sayap pertahanan musim lalu, namun kepercayaan yang diletakkan jurulatih menyaksikan dia turut mengisi posisi sayap kanan bagi membantu jentera serangan The Red Giants dalam beberapa perlawanan musim ini.

Malah, bukan sahaja mampu beraksi di sebelah kanan, namun pemain berusia 21 tahun itu menunjukkan kebolehan untuk beraksi di posisi sayap kiri seperti yang ditunjukkan ketika bertemu MOF FC pada aksi pusingan kedua Piala FA dengan dia turut meledak gol ketiga pasukannya.

Bukan satu kebetulan posisi sayap kanan menjadi kekuatannya apabila dia meledak dua gol apabila diletakkan dalam posisi terbabit ketika bertemu Melaka United (MU) sekali gus membantu skuad Merah Kuning meraih kemenangan besar 4-1.

Bagaimanapun, Syahmi meletakkan keputusan di tangan jurulatihnya untuk menggunakan khidmatnya di posisi yang dirasakan terbaik memandangkan dia optimis mampu beraksi dengan penuh keyakinan dalam ketiga-tiga posisi terbabit.

"Posisi sebenar saya sayap kanan namun terpulang kepada jurulatih untuk meletakkan saya sama ada di barisan pertahanan ataupun jentera serangan.

"Sudah pasti jurulatih juga mahukan aksi terbaik saya dalam setiap perlawanan. Jadi, saya akan memberikan yang terbaik walaupun terpaksa beraksi di luar posisi kebiasaan saya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Walaupun sudah menyumbat tiga gol sepanjang musim ini, Syahmi enggan terlalu berpuas hati dengan apa yang sudah ditunjukkan olehnya setakat ini sambil menegaskan masih banyak lagi aspek yang perlu diperbaikinya.

"Gol yang dijaringkan itu menjadi pembakar semangat untuk saya meningkatkan lagi mutu permainan. Sebagai pemain muda, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan saya perlu terus bekerja keras," katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 7:49pm
d