arena

Yee Khie optimis raih emas di GC2018

Oleh Haika Khazi

JAGUH angkat berat para, Jong Yee Khie, kini bertekad untuk memastikan pingat emas acara powerlifting kategori heavyweight (72 kg ke atas) menjadi menjadi milik Malaysia apabila turun beraksi di Sukan Komanwel 2018 (GC2018) 10 April depan.

Justeru, Yee Khie menegaskan dia kini sudah bersiap sedia untuk menghadapi cabaran termasuk daripada pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 iaitu Abdulazeez Ibrahim dari Nigeria yang sudah pasti mahu mempertahankan reputasinya di GC2018 nanti.

Pemenang pingat emas acara powerlifting Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur itu berkata dia enggan memikirkan mengenai dakwaan kononnya Abdulazeez mungkin tidak dapat beraksi dengan baik di Sukan Komanwel akibat kecederaan.

“Saya tidak mahu memikirkan soal atlet lain. Apa yang penting saya sudah bersiap sedia, melakukan yang terbaik untuk merampas pingat emas dan memecahkan rekod peribadi di sana nanti.

“Saya juga berharap tidak melakukan sebarang kesilapan dari segi teknikal ketika melakukan angkatan bagi memastikan saya sentiasa berada di hadapan dan mampu mengatasi Abdulazeez di Gold Coast bulan depan,” katanya.

Untuk edisi kali ini, Malaysia mempertaruhkan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Glasgow 2014, Yee Khie, dan seorang atlet muda berusia 19 tahun, Bonnie Bunyau Gustin.

Di Glasgow 2014, Yee Khie menyumbang gangsa dalam acara powerlifting kategori heavyweight selepas melakukan angkatan 178kg dengan emas diraih Abdulazeez (197kg) manakala Rajinder Rahelu dari India perak (180.5kg).

Dalam pada itu, Bonnie pula berkata kejayaan menang pingat emas dan mencatatkan rekod baharu remaja dunia Kejohanan Powerlifting Para Dunia Fazza ke-9, bulan lalu menjadi pembakar semangat kepadanya untuk menang sekurang-kurangnya gangsa dalam acara powerlifting kategori lighweight (72kg ke bawah) pada GC2018 nanti.

Pada 9 Februari lalu, Bonnie, 19, bukan saja mengharumkan nama negara pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia Fazza ke-9, malah turut berjaya mencipta rekod remaja dunia baharu dengan angkatan melebihi 157 kg.

“Saya tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi kerana ini adalah kali pertama saya mewakili Malaysia ke Sukan Komanwel. Namun saya akan lakukan yang terbaik bagi memberi saingan kepada atlet dari Nigeria, Paul Kehinde sudah pasti menjadi penghalang utama saya menang emas di GC2018 nanti,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 9:52pm
d